MELAKA – DAP menegaskan kedudukannya dalam Kerajaan Perpaduan akan ditentukan parti itu sendiri tanpa perlu mengikut rentak atau tunduk kepada provokasi politik mana-mana individu.
Setiausaha Agungnya, Anthony Loke Siew Fook berkata, perbahasan lanjut akan dibuat oleh para perwakilan sebelum dilaporkan kepada Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC).
“Apa yang saya nak katakan hala tuju parti kita, keputusan parti kita bukan ikut tempo orang lain, bukan ikut rentak orang lain.
“Enam bulan lagi kita kena lihat…apa yang penting kita buat keputusan terbaik bukan sahaja untuk parti tetapi untuk pengundi-pengundi yang kita wakili, itu paling penting,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya di hadapan perwakilan sebelum merasmikan Konvensyen Tahunan DAP Melaka Kali Ke-25 di sini hari ini.
Semalam, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh mencabar pemimpin DAP supaya meletakkan jawatan di Melaka, memandangkan parti itu juga sebahagian daripada kerajaan negeri yang diterajui Barisan Nasional
Dr Akmal yang juga Exco Melaka berkata demikian menerusi ucapannya pada Konvensyen Khas Pemuda UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur semalam.
Mengulas lanjut, Anthony turut mengingatkan ahli dan penyokong supaya tidak mudah diprovokasi atau terikut-ikut dengan cabaran pihak lain, walaupun DAP tidak pernah gentar berdepan cabaran politik.
“Kita jangan mudah diprovokasi. Kita bukan takut dicabar, kita tak pernah takut dicabar, tetapi kita juga tidak akan benarkan orang lain beritahu kita apa yang kita kena buat.
“Apa yang seharusnya kita buat ditentukan oleh kita sendiri, bukannya oleh pihak luar yang hanya muncul untuk mencabar atau mempengaruhi pendirian parti.
Anthony menegaskan, DAP akan terus mengukuhkan proses demokrasi dalaman dan memastikan setiap keputusan penting dibuat secara kolektif, berprinsip dan berpaksikan kepentingan rakyat. – MalaysiaGazette
















