SEGAMAT – Seorang pemuda rentung selepas motosikal ditunggang terlibat kemalangan dengan sebuah lori sebelum terbakar dalam kejadian di Jalan Tenang Jaya, pekan Tenang, Labis di sini semalam.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Labis, Pegawai Bomba Kanan I Hairishah Wahid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pukul 7.15 malam.

Berikutan itu, katanya, seramai 12 anggota dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender FRT dan Compact Fire Rescue Tender (CFRT) dikejarkan ke tempat kejadian yang jaraknya kira-kira 12 kilometer.

“Kebakaran melibatkan sebuah lori Hino tiga tan terbakar sebanyak 30 peratus dan sebuah motosikal jenis Yamaha LC 135 terbakar 90 peratus akibat kemalangan jalan raya yang berlaku sebelum itu.

“Akibat kemalangan tersebut penunggang terbabit berusia 27 tahun yang berada di bawah lori dan rentung hampir 90 peratus,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Menurutnya, pihak bomba bertindak memadamkan kebakaran sebelum mengeluarkan mangsa yang rentung dan mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Beliau memberitahu, pemandu lori tiada di lokasi ketika pihak bomba tiba dan operasi selesai pukul 7.24 malam.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast