Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Seri Mohamad Sabu berucap pada Konvensyen Parti Amanah di Kompleks Belia dan Kebudayaan Negeri Selangor, Shah Alam. Foto MUHAIMIN MARWAN, 8 November 2025

KUALA LUMPUR – Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu mengingatkan ahli-ahli parti itu supaya tidak leka menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) yang semakin hampir.

Menurutnya, parti itu perlu digerakkan dengan lebih tersusun, jentera diperkasa, ahli dipersiapkan dan kepimpinan tempatan dibina lebih awal.

Ujarnya, setiap ahli Amanah perlu turun ke lapangan mendekati dan mendengar denyut nadi rakyat, serta menjadi suara yang membawa harapan.

“Tahun 2026 adalah masa untuk kita melipatgandakan usaha, memperkukuh akar parti dan menghidupkan semula semangat perjuangan AMANAH di setiap peringkat,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Sementara itu, Mohamad berkata, setiap ahli Amanah juga mesti memperkukuh keyakinan rakyat dengan menjelaskan dasar, mempertahankan rekod pentadbiran serta tampil sebagai parti yang matang, berwibawa dan berprinsip.

Ujarnya, perbezaan pandangan diraikan, perpaduan parti dipelihara dan disiplin perjuangan mesti menjadi pegangan bersama.

Dalam masa sama, tambah beliau, setiap ahli Amanah juga perlu menjadikan Islam Rahmatan Lil ‘Alamin sebagai teras perjuangan parti tersebut.

Menurutnya, pendekatan itu menekankan berkenaan Islam yang membawa kasih sayang, keadilan, hikmah dan penyelesaian kepada seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang.

“Di sinilah letaknya kekuatan AMANAH, politik nilai, bukan politik kebencian,” katanya.

Sementara itu, Mohamad melahirkan keyakinan sekiranya semua ahli Amanah bergerak dengan ikhlas, bersatu dan berdisiplin, parti itu bukan sahaja mampu bertahan, malah akan terus relevan sebagai parti Islam progresif yang membawa masa depan lebih baik untuk negara.

“Teruskan bekerja. Teruskan berjuang. Demi Islam yang membawa rahmat. Demi Malaysia yang adil dan makmur,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast