MELAKA – Leftenan Komander Afiq Muzani Abdul Aziz yang sebelum ini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka selepas terlibat nahas helikopter Super Lynx di perairan Pantai Klebang, Rabu lalu sudah dibenarkan pulang, semalam.
Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem berkata, pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berkenaan sebelum itu telah dipindahkan ke Wad A4 pada Jumaat lalu selepas menunjukkan perkembangan positif.
Menurutnya, Pegawai Taktikal Udara ke dua (Tactical Control Officer – TACCO) terbabit yang mengalami komplikasi pada paru-paru kemudian dibenarkan keluar pada jam 12.30 tengah hari, semalam.
“Pesakit tidak perlu meneruskan rawatan di Hospital Angkatan Tentera di Lumut, Perak.
“Sebaliknya beliau terus dibenarkan pulang ke rumah pada jam 12.30 tengahari semalam,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Khamis lalu, media melaporkan helikopter Super Lynx TLDM itu terpaksa melakukan pendaratan kecemasan di perairan Klebang kira-kira jam 10.50 malam Rabu lalu.
Kejadian berlaku ketika melakukan penerbangan demonstrasi sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Ke-60 Grup Gerak Khas (GGK), Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Ambang Tahun Baharu 2026.
Ketika kejadian, empat kru berada di dalam helikopter berkenaan termasuk Leftenan Komander Muhamad Kamal Abdul Rani, Leftenan Mohammad Faiz Razali TLDM dan Bintara Kanan Technician Marine Srimala (Kuater Master Udara) Mohammad Zullfika Mohiddi. – MalaysiaGazette
















