KUALA LUMPUR – Beberapa pemimpin Pas menyahut hasrat Pemuda UMNO supaya kedua-dua parti itu bersatu ke arah membentuk penyatuan orang Melayu seperti yang dibangkitkan menerusi Konvensyen Khas Pemuda UMNO di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) semalam.
Antara yang menyatakan kesediaan itu termasuk Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari yang secara terbuka membayangkan kemunculan Muafakat Nasional (MN) 2.0.
“Nantikan kemunculan Muafakat Nasional 2.0!” katanya ringkas menerusi laman sosial Facebook beliau.
Sementara itu, turut menyatakan kesediaan supaya Pas dan UMNO bergabung di dalam MN ialah Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat yang juga Timbalan Pesuruhjaya III Pas Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim.
Menerusi laman sosial Facebooknya, Shahidan yang juga Ahli Parlimen Arau itu menulis: “Saudara Akmal Saleh, PAS bersedia bersama UMNO dalam Muafakat Nasional. Salam pada DS. Zahid Hamidi.”
Dalam pada itu, Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden pula tampil dengan kenyataan lebih berani dengan mengajak Pemuda UMNO supaya memastikan penyatuan antara kedua-dua parti tersebut benar-benar menjadi kenyataan.
“Tahniah sahabat! Kita buat kasi jadi!” katanya menerusi laman sosial Faceboknya.
Menurut Afnan Hamimi, orang Melayu dan umat Islam akan menjadi kuat jika tidak berpecah, dengan politik mesti menyatukan, bukan memecahkan.
Malah, ujarnya, agenda penyatuan juga mengatasi agenda peribadi.
“Semoga ada cahaya yang bersinar,” katanya.
Semalam, ketika berucap pada Konvensyen Khas Pemuda UMNO, Ketuanya, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, menyuarakan keinginan supaya UMNO dan Pas dapat bersatu demi membentuk penyatuan orang Melayu.
Ujarnya, penyatuan itu penting bagi memastikan kekuatan politik orang Melayu dan umat Islam terus terpelihara dalam landskap politik negara yang semakin mencabar.
Tambahnya, sudah tiba masanya UMNO dan Pas sebagai dua parti terbesar Melayu dan umat Islam mengetepikan perbezaan demi kepentingan agama, bangsa dan negara. – MalaysiaGazette
















