Anthony (dua dari kiri) menyampaikan bantuan pendidikan kepada penerima selepas merasmikan Konvensyen Tahunan DAP Melaka Kali Ke-25 di Melaka, hari ini.

MELAKA – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka membuat beberapa pengumuman penting berkaitan isu-isu kritikal negara dalam satu amanat Tahun Baharu, esok.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, sebelum itu, Anwar akan mempengerusikan mesyuarat khas Jemaah Menteri pada jam 9 pagi bagi membincangkan beberapa isu mendesak yang sedang dihadapi rakyat.

“Esok hari Isnin pertama bulan Januari, perdana menteri akan memanggil mesyuarat khas Jemaah Menteri pada pukul 9 pagi, di mana beberapa isu terdesak akan dibincangkan.

“Mesyuarat tersebut akan disusuli dengan Amanat Tahun Baharu Perdana Menteri pada jam 11.30 pagi bersama warga Jabatan Perdana Menteri, yang dijangka menjadi platform penting bagi mengumumkan langkah-langkah baharu kerajaan,” katanya.

Anthony Loke Siew Fook

Anthony yang juga Setiausaha Agung DAP berkata demikian
dalam ucapannya di hadapan perwakilan sebelum merasmikan Konvensyen Tahunan DAP Melaka Kali Ke-25 di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pengumuman yang bakal dibuat menunjukkan keseriusan Perdana Menteri dan pimpinan kerajaan dalam menangani pelbagai masalah rakyat, khususnya dalam sektor ekonomi, pendidikan dan reformasi institusi.

“Saya yakin esok akan ada beberapa pengumuman penting oleh Perdana Menteri yang menunjukkan betapa seriusnya beliau dan pimpinan kerajaan untuk menangani isu-isu dan masalah yang dihadapi rakyat.

“Berdasarkan maklum balas yang diterima, isu ekonomi kekal sebagai antara keutamaan utama, dengan komuniti perniagaan menyuarakan kebimbangan terhadap persekitaran dan iklim perniagaan yang dilihat kurang positif,” katanya.

Tambahnya, antara perkara yang dijangka diberi perhatian ialah langkah menangani rungutan komuniti perniagaan, termasuk berkaitan pemulangan semula cukai serta inisiatif lain bagi merangsang keyakinan ekonomi.

“Dalam isu ekonomi, komuniti perniagaan mengeluh kerana ada banyak isu yang mereka hadapi dan saya yakin pengumuman positif akan dibuat esok untuk menangani isu-isu kritikal seperti ini.

“Amanat Tahun Baharu itu bukan sekadar ucapan, sebaliknya akan menggariskan hala tuju negara dan kerajaan bagi tahun baharu, dengan penekanan terhadap pelaksanaan dan tindakan susulan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast