Foto Ihsan Prasarana.

KUALA LUMPUR – Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), pengendali perkhidmatan Rapid KL dan Rapid Penang mencatatkan kejayaan operasi sempena ambang Tahun Baharu 2026 apabila lebih 1.54 juta perjalanan penumpang rel dan bas direkodkan pada 31 Disember lalu.

Jumlah itu merupakan peningkatan sebanyak 0.76 peratus berbanding tahun sebelumnya menjadikan pencapaian tertinggi dalam sejarah penubuhan Prasarana.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Amir Hamdan berkata, kecekapan koordinasi dan pengurusan kawalan orang ramai yang digerakkan oleh kira-kira 3,000 anggota barisan hadapan Rapid KL di Lembah Klang telah berjaya memastikan
pengguna perkhidmatan rel dan bas menikmati perjalanan yang lancar, selamat dan selesa sepanjang sambutan berkenaan.

“Keberkesanan penyelarasan operasi di lapangan membolehkan perkhidmatan Rapid KL beroperasi dengan lancar walaupun berdepan lonjakan penumpang yang tinggi di beberapa lokasi tumpuan sambutan Tahun Baharu.

“Kerjasama strategik bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam mengawal pergerakan trafik serta melaksanakan penguatkuasaan terhadap laluan bas telah membantu memastikan perkhidmatan bas beroperasi mengikut jadual meskipun keadaan trafik sangat sesak di sekitar pusat bandar.

“Selain itu, koordinasi menyeluruh antara Pasukan Polis Bantuan Prasarana bersama penganjur acara dan pasukan keselamatan pusat beli-belah utama, termasuk Pavillion Bukit Bintang, TRX Mall dan Suria KLCC turut memainkan peranan penting dalam mengurus aliran penumpang serta memastikan tahap keselamatan orang ramai sentiasa berada pada tahap optimum sepanjang malam sambutan,” katanya dalam satu kenyataan  hari ini.

Foto Ihsan Prasarana.

Amir memberitahu, berdasarkan rekod, jumlah pengguna rel dan bas termasuk perkhidmatan Rapid On-Demand (ROD) pada 31 Disember 2025 masing-masing adalah sebanyak 1.29 juta dan 251,737 penumpang.

Katanya, kejayaan mengendalikan operasi berskala besar ini membuktikan tahap kesiapsiagaan, dan profesionalisme kakitangan Rapid KL dalam memastikan perkhidmatan pengangkutan awam dapat diurus secara berkesan, selamat dan selesa walaupun dalam situasi operasi yang mencabar.

“Prasarana merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua agensi keselamatan serta rakan strategik atas komitmen dan kerjasama yang diberikan dalam menjayakan operasi sambutan Tahun Baharu 2026.

“Jutaan terima kasih juga kepada warga kota dan pelancong yang memilih menggunakan pengangkutan awam khususnya di Lembah Klang dan Pulau Pinang sekali gus menyumbang kepada kelancaran mobiliti serta menyokong agenda bandaraya lestari,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast