KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) mengecam sekeras-kerasnya serangan ketenteraan oleh tentera Amerika Syarikat (AS) di Caracas, Venezuela yang membawa kepada penculikan Presiden Venezuela, Nicolas Maduro.
Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, tindakan itu merupakan satu tindakan pencabulan terhadap kedaulatan sesebuah negara malah bertentangan dengan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Menurutnya, pencerobohan ke atas Venezuela itu juga menyerlahkan sikap AS yang mengamalkan pemerintahan “barbarian” dan tidak bertamadun.
“Amanah yakin rejim AS ini akan runtuh dengan kebangkitan rakyat yang menolak kezaliman dan penindasan ekoran tindakan barbaric ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Susulan itu, kata Mohamad, Amanah menyeru masyarakat dunia mengutuk pencabulan kedaulatan tersebut bagi memastikan AS dan sekutunya tidak lagi sewenang-wenangnya mencabuli kedaulatan negara lain.
“Amanah juga bersolidariti bersama-sama rakyat Venezuela dalam menentang sebarang bentuk imperialisme oleh AS terhadap negara tersebut,” katanya. – MalaysiaGazette
















