KUALA LUMPUR – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diarah menjalankan siasatan dalaman bagi menentukan kesahihan dakwaan kemasukan individu tidak berkaitan dan aktiviti tidak bermoral di dalam kem seperti yang tular di media sosial sejak semalam.
Kementerian Pertahanan menegaskan, tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak selaras dengan peraturan, tatacara serta undang undang sekiranya didapati dakwaan tersebut benar.
“Dakwaan tersebut tidak mencerminkan budaya, nilai dan amalan sebenar ATM yang berteraskan disiplin, profesionalisme serta pematuhan ketat terhadap prosedur keselamatan.
“Jika didapati benar, tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak selaras dengan peraturan, tatacara serta undang-undang semasa,” katanya dalam kenyataan.
Dalam masa yang sama, Kementerian Pertahanan menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau kesimpulan awal yang boleh mengelirukan masyarakat serta menjejaskan reputasi kementerian dan ATM.
“Kementerian Pertahanan dan ATM sentiasa komited dalam memastikan disiplin, integriti dan profesionalisme warga pertahanan berada pada tahap tertinggi serta tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang perlakuan yang boleh menjejaskan imej dan kredibiliti institusi pertahanan negara,” tambahnya.
Sejak semalam, tular di media sosial dakwaan mengenai budaya tidak sihat yang diamalkan segelintir pegawai ‘seragam loreng’ di dalam mes kem tentera.
Budaya berkenaan dikatakan melibatkan penyalahgunaan kuasa, pergaulan tidak bermoral serta amalan yang bercanggah dengan etika perkhidmatan. – MalaysiaGazette
















