MELAKA – Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) mengesahkan kutipan parkir RM3 yang tular di Pantai Klebang sejak minggu lalu adalah haram dan dilakukan tanpa kebenaran pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.
Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman menegaskan, pengunjung tidak perlu membuat sebarang pembayaran untuk masuk ke kawasan tumpuan pelancong itu.
Tambahnya, pihak MBMB juga mendapati tiada keperluan untuk melaksanakan parkir berbayar di kawasan tersebut setakat ini.
“Hasil siasatan kami mendapati kutipan RM3 yang dikenakan itu sebenarnya bukanlah caj masuk ke Pantai Klebang seperti yang disangkakan, malah kutipan disyaki dilakukan individu yang tidak mempunyai permit atau lesen sah daripada MBMB.
“Sejurus isu tersebut tular di media sosial, anggota penguat kuasa kami telah turun ke lokasi malam tadi bagi menjalankan pemeriksaan namun tiada kelibat ‘ulat parkir’ kelihatan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Semalam, tular di media sosial seorang pengunjung berkongsi resit bayaran parkir bernilai RM3 di pantai pelancongan tambak laut itu.
Keadaan itu menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan warga net selain ada yang menyangka ia adalah sebagai caj masuk ke kawasan tumpuan awam itu.

Mengulas lanjut Shadan berkata, kes berkenaan adalah aduan pertama diterima pihaknya di Klebang selain masalah sama turut dihadapi di beberapa lokasi lain di sekitar pusat bandar khususnya pada hujung minggu dan musim cuti sekolah.
“Mana-mana individu atau syarikat yang menjalankan aktiviti kutipan parkir perlu mendapatkan permit dan lesen daripada MBMB.
“Setakat ini, MBMB tidak pernah mengeluarkan sebarang kebenaran kepada mana-mana syarikat atau individu untuk menjalankan kutipan parkir di Pantai Klebang,” tegasnya.
Tambahnya, MBMB akan terus menjalankan pemantauan berkala dan operasi penguatkuasaan secara mengejut, khususnya di kawasan tumpuan pelancong, bagi membanteras aktiviti kutipan parkir haram yang mengambil kesempatan atas kehadiran pengunjung. – MalaysiaGazette
















