JOHOR BAHRU – Kenyataan Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkenaan jawatan Perdana Menteri dihadkan kepada dua penggal disifatkan sebagai jelek dan dangkal.
Exco Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Nasional, Fadhli Umar Aminolhuda berkata, kenyataan kedua-dua tokoh itu mencerminkan bagaimana Pas sebagai parti Islam gagal membawa mesej Islah atau penambahbaikan daripada segi tatakelola dan berkerajaan.
“Bahkan sikap tersebut adalah petunjuk jelas bagaimana Pas tidak boleh dijadikan pilihan untuk menjadi kerajaan lebih-lebih lagi oleh anak muda yang berpendidikan dan ingin melihat Malaysia ditadbir dengan penuh keadilan dan tatakelola yang baik.
“Sepatutnya Pas jika tidak memuji pun usaha reformasi oleh PMX dan Kerajaan Madani, usahlah membuat kenyataan yang dangkal sebegini,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Parti Amanah Negara (Amanah) Johor berkata demikian dalam satu kenyataan hari ini.
Ahmad Fadhli dalam Facebook miliknya hari ini memuat naik kenyataan menyindir berkenaan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mengehadkan tempoh Perdana Menteri tidak lebih dua penggal penuh.
Beliau berkata, hakikatnya semua Perdana Menteri selepas Tun Dr Mahathir Mohamad berundur pada 2003 tidak pernah mentadbir negara melebihi dua penggal.
“Bahkan dengan umur Perdana Menteri sekarang pun untuk beliau kekal sehingga melebihi dua penggal kelihatan agak mustahil (walaupun mungkin ia boleh berlaku).
“Jadi tiada apa yang ‘ajaib sangat’ dengan menghadkan tempoh Perdana Menteri selama 2 penggal. Ia tidak mengenyangkan rakyat, tidak menghilangkan tekanan kos sara hidup,” ujar Ahli Parlimen Pasir Mas itu.
Sanusi pula berkata, isu utama cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri bukan terletak pada had masa, tetapi prestasi kepimpinannya.
“Kalau prestasi PM bagus, berapa penggal pun tak mengapa, sehingga 10 tahun, 10 penggal pun tak ada masalah. Kalau prestasi PM itu tidak bagus, tak payah tunggu habis satu penggal,” katanya.- MalaysiaGazette
















