KUALA LUMPUR – Pemimpin Barisan Nasional (BN) diingatkan agar tidak terbuai dengan keselesaan memegang jawatan dalam kerajaan sehingga melupakan peranan sebenar hubungan Kerjasama sebagai tunjang kestabilan negara.
Pengarah Komunikasi Pemuda BN, Neow Choo Seong berkata, sesengah pemimpin perlu menghentikan retorik ‘bersyukur kerana berada dalam kerajaan’ .
“Belajarlah bersyukur kerana Malaysia masih aman dan stabil hasil sumbangan serta peranan BN. Tanpa BN, tidak mungkin wujud Kerajaan Perpaduan.
“Tanpa BN, tidak mungkin Kerajaan Persekutuan dan beberapa kerajaan negeri dapat dibentuk dan ditadbir dengan stabil sehingga ke hari ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau yang juga Ketua Penerangan Pemuda MCA berkata, rakyat tidak menilai seseorang pemimpin berdasarkan jawatan yang disandang sebaliknya memerhati nilai integriti dan keikhlasan dalam berkhidmat.
“Rakyat mahu melihat pemimpin yang berani kerana benar, rajin berkhidmat, rendah diri dan mempunyai jati diri tinggi tanpa dipengaruhi kepentingan material.
“Berpolitik bukan demi jawatan dan harta tetapi perjuangan demi rakyat dan negara. Selebihnya, biarlah rakyat yang menentukan,” katanya lagi.
Katanya lagi, jawatan bersifat sementara tetapi sikap, perbuatan dan jasa bakti yang akan dikenang selamanya. – MalaysiaGazette
















