LAS VEGAS – Kilang-kilang milik Kumpulan Hyundai Motor akan menggunakan robot berbentuk manusia mulai tahun 2028.
Pengumuman itu dibuat semasa syarikat Korea Selatan itu mempamerkan ‘Atlas’, sebuah robot humanoid yang dibangunkan oleh Boston Dynamics, pada Pameran Elektronik Pengguna (CES) di Las Vegas pada hari Isnin.
Hyundai berkata, ia merancang untuk mengintegrasikan ‘Atlas’ di seluruh rangkaian globalnya”, termasuk sebuah kilang di negeri Georgia, Amerika Syarikat, yang terlibat dalam serbuan imigresen besar-besaran pada tahun 2025.
Selain Hyundai, Amazon, Tesla dan firma gergasi kereta China, BYD juga berhasrat untuk menggunakan robot humanoid dalam operasi mereka.
Hyundai berkata, robot Atlas akan mengambil alih lebih banyak tugasan secara berperingkat.
Atlas, yang direka untuk kegunaan industri umum, sedang dibangunkan untuk bekerja bersama manusia serta menguruskan mesin secara autonomi.
Hyundai berkata, robot tersebut akan membantu mengurangkan beban fizikal pekerja manusia, mengendalikan tugasan yang berpotensi berbahaya dan membuka laluan kepada penggunaan teknologi ini secara lebih meluas.
Syarikat itu tidak mendedahkan berapa banyak robot yang akan digunakan pada peringkat awal atau berapa kos projek tersebut.
Berucap di CES, Naib Pengerusi Hyundai, Jaehoon Chang, mengakui wujud kebimbangan pekerja manusia yang mungkin kehilangan pekerjaan kepada robot.
Tahun lalu, Hyundai mengumumkan akan melabur lebih AS$20 bilion di Amerika Syarikat untuk memperluas pengeluaran kereta serta melabur dalam teknologi pemanduan autonomi dan kecerdasan buatan. – Agensi
















