Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

KUALA LUMPUR – Cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal mempunyai pro dan kontra namun isu utama bukan terletak pada tempoh masa tetapi prestasi kepimpinan.

Menteri Besar Kedah, Datuk  Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, sekiranya seseorang perdana menteri itu menunjukkan prestasi yang baik dan memberi manfaat kepada rakyat serta negara, ia tidak menjadi masalah biarpun memegang jawatan tersebut sehingga 10 penggal.

“Kalau prestasi PM (Perdana Menteri) bagus, berapa penggal pun tak mengapa, sehingga 10 tahun, 10 penggal pun tak ada masalah. Kalau prestasi PM itu tidak bagus, tak payah tunggu habis satu penggal,” katanya yang dipetik menerusi Facebook Urus Setia Penerangan Darul Aman di sini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Anwar yang memaklumkan Rang Undang-Undang (RUU) bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada tidak melebihi 10 tahun atau dua penggal penuh akan dibentangkan pada sesi Parlimen kali ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, had penggal boleh merugikan negara sekiranya seorang pemimpin yang dilantik pada usia muda.

Misalnya kata beliau, usia 40 tahun terbukti cemerlang tetapi tidak boleh dilantik semula hanya kerana kekangan perundangan tersebut.

“Kalau ada pemimpin muda dilantik sebagai PM pada umur 40 tahun dan prestasi bagus untuk rakyat dan negara, kita pula yang rugi bila dihadkan sebab dia tak boleh dilantik semula,” katanya.

Tambah beliau, Anwar yang kini berusia 79 tahun mungkin sesuai dihadkan kepada dua penggal kerana jika dilantik bagi penggal berikutnya, usia beliau akan mencecah sekitar 85 atau 86 tahun pada penghujung tempoh tersebut.

“Anwar umur 79 tahun sekarang, sesuai hadkan kepada dua penggal sebab kalau jadi PM kali kedua, umur cecah 86 pada hujung penggal. Isunya di sini, bukan pada tempoh masa tetapi prestasi,” ujar beliau.

Semalam ketika menyampaikan Amanat Tahun 2026 pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya, Anwar memaklumkan, RUU bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada tidak melebihi 10 tahun atau dua penggal penuh akan dibentangkan pada sesi Parlimen kali ini.

RUU itu merupakan antara empat perundangan baharu yang akan dibentangkan sebagai hala tuju Parlimen tahun ini.

Ia melibatkan semua jawatan utama termasuk Ketua Setiausaha Negara (KSN) yang juga tidak boleh melebihi daripada 10 tahun dan turut terpakai kepada Jabatan Perdana Menteri.

Anwar berkata, sekiranya seseorang diberikan tempoh tertentu dan berjaya melaksanakan tanggungjawab, selepas itu adalah wajar menyerahkan kepada generasi seterusnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast