Susu formula Alfamino antara yang ditarik balik di Jerman.

ZURICH – Firma makanan gergasi Nestle menarik balik beberapa jenama susu formula bayi di beberapa negara Eropah, terutamanya Perancis, Jerman, Austria, Denmark, Itali dan Sweden, sebagai langkah berjaga-jaga.

Dalam kenyataan di laman webnya, Nestle yang berpangkalan di Switzerland berkata, ia telah mengesan satu “isu kualiti” pada satu ramuan yang diperoleh daripada salah seorang pembekal utamanya.

“Nestle telah menjalankan ujian ke atas semua minyak asid arakidonik dan campuran minyak berkaitan yang digunakan dalam pengeluaran produk pemakanan bayi yang berpotensi terjejas.

“Setakat ini, tiada sebarang kes penyakit yang disahkan berkaitan dengan produk yang terlibat,” menurut kenyataan di laman web tersebut.

Nestle berkata, ia sedang berhubung dengan pihak berkuasa di negara-negara terlibat “bagi memastikan langkah-langkah yang diperlukan diambil”.

“Nestle memberi jaminan kepada ibu bapa dan penjaga ia sedang melaksanakan tindakan yang sewajarnya, termasuk penarikan balik produk jika perlu,” tambahnya.

Nestle Perancis pula memaklumkan, ia sedang melaksanakan penarikan balik secara “pencegahan dan sukarela” terhadap beberapa kelompok susu formula bayi jenama Guigoz dan Nidal selepas siasatan baharu menunjukkan potensi kehadiran cereulide, sejenis toksin yang boleh menyebabkan masalah penghadaman.

Syarikat itu memuat naik gambar di versi tempatan laman webnya yang memaparkan nombor kelompok produk terjejas, yang dijual di bawah nama berbeza.

Di Jerman, produk tersebut ialah Beba dan Alfamino.

Nestle turut menyediakan arahan untuk memulangkan produk dan mendapatkan bayaran balik, serta nombor telefon bagi menjawab pertanyaan pengguna. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast