Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan.

PUTRAJAYA – Rakan komponen Kerajaan Perpaduan antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) masih bekerjasama meskipun timbul desakan agar UMNO memutuskan hubungan dan kerjasama politik.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Ramanan Ramakrishnan berkata, pergolakan dalaman itu bagaikan perselisihan antara anak dengan bapa yang akhirnya tidak menggambarkan hubungan itu berakhir.

“Bagi saya, kita tidak pernah ada masalah bersama mana-mana rakan di dalam perpaduan, di dalam satu parti, parti ini lagi besar.

“Di satu rumah pun, kadang-kala anak dengan ayah gaduh, ibu dengan ayah boleh bergaduh, tetapi tidak bermaksud mereka tidak bersama.

“Ketua keluarga sudah bersama, itu yang penting, kalau kita lihat, bila anak bergaduh, kita tak boleh ambil itu bermaksud keluarga sudah pecah, jadi di situ tiada isu,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Semalam, Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, UNNO akan terus kekal bersama Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal sebelum Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Pendirian itu dibuat selepas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menerusi konvensyen khasnya Sabtu lalu mendesak agar kepimpinan tertinggi parti itu memutuskan hubungan dengan Kerajaan Perpaduan.

Konvensyen sayap itu juga mendesak supaya UMNO dan Pas menghidupkan semula kerjasama di bawah payung Muafakat Nasional (MN).

Selain itu, Ramananan tidak menafikan perkara itu timbul susulan perbezaan pandangan politik antara sayap dan kepimpinan sesebuah parti itu.

“Memang kita semua bersatu padu, kita bekerjasama, tetapi, kadang-kala kita politik, pemikiran berbeza.

“Jadi kita ambil kira yang berbezalah, tetapi yang buat keputusan ini majlis tertinggi ataupun majlis pimpinan pusat, kita semua bersama,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast