Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir

KUALA LUMPUR – Sebarang keputusan yang dibuat Barisan Nasional (BN) dan UMNO perlu mengambil kira suara semua pihak dan tidak tunduk semata-mata kepada desakan sayap parti itu tentang kedudukannya dalam Kerajaan Perpaduan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir berkata, setiap keputusan dilaksanakan secara konsensus demi rakyat dan masa depan negara.

“BN dan UMNO tidak membuat keputusan atas dorongan, tekanan mahupun sentimen jangka pendek.

“Cubaan ‘tebuk atap’, lompat parti mahupun menjatuhkan kerajaan melalui jalan belakang hanya akan memberi kesan negatif kepada keyakinan pelabur, kestabilan ekonomi serta kesejahteraan rakyat,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO akan terus kekal bersama Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal sebelum Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Ia susulan desakan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menerusi konvensyen khasnya Sabtu lalu agar kepimpinan tertinggi parti itu memutuskan hubungan dengan Kerajaan Perpaduan.

Konvensyen Khas Pemuda UMNO Malaysia itu juga mendesak supaya UMNO dan Pas menghidupkan semula kerjasama di bawah payung Muafakat Nasional (MN).

Zaidy juga memuji ketegasan Zahid selaku Presiden UMNO yang konsisten mempertahankan pendirian parti dalam soal integriti politik dan tadbir urus negara.

“Ketegasan Presiden UMNO ini mencerminkan kematangan politik dan kebertanggungjawaban BN sebagai rakan dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Beliau juga menyeru semua pihak agar menghormati semangat Kerajaan Perpaduan dan menolak sebarang cubaan yang boleh menggugat kestabilan politik negara.

“Politik matang ialah politik yang mendahulukan rakyat. UMNO dan BN akan terus memainkan peranan secara konstruktif demi kestabilan, kemajuan dan masa depan negara,” katanya.

Selain itu, Zaidy juga menyokong pendirian tegas Zahid menolak sebarang amalan politik tidak beretika termasuk ‘tebuk atap’ yang boleh mencetuskan ketidakstabilan politik dan negara.

“Ketegasan Zahid itu selari dengan prinsip dan perjuangan BN dan UMNO yang tidak menyokong sebarang tindakan boleh mencetuskan ketidakstabilan politik negara sejak awal penubuhannya.

“UMNO dan BN tidak pernah mengamalkan politik ‘tebuk atap’. Kita mahukan kestabilan politik dan negara, aspek itu merupakan asas utama kepada pembangunan dan kemajuan negara,” katanya.

Katanya lagi, UMNO sentiasa terbuka dalam perbincangan serta meraikan pandangan daripada semua peringkat parti,” katanya.

“Langkah Pergerakan Pemuda UMNO yang menganjurkan konvensyen khas Sabtu lalu perlu dipuji sebagai satu pendekatan sihat dalam memperkukuh demokrasi dalaman parti.

“UMNO menghargai keterbukaan Pergerakan Pemuda UMNO yang berani menyuarakan pandangan dan cadangan melalui konvensyen khas tersebut.

“Ini membuktikan UMNO sentiasa hidup dengan budaya perbincangan dan pertukaran idea,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast