KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dinasihatkan berehat antara dua hingga tiga minggu susulan kecederaan patah tulang pinggul yang dialaminya semalam.
Anaknya, Datuk Seri Mukhriz berkata, disebabkan faktor usianya yang sudah mencecah 100 tahun maka proses pembedahan bukan satu pilihan yang sesuai.
Disebabkan itu pakar kesihatan daripada Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) menasihatkan beliau melalui proses pemulihan biasa tanpa melibatkan pembedahan.
“Jadi proses ini akan mengambil sedikit masa dan beliau perlu berehat antara dua ke tiga minggu sebelum kembali sihat seperti biasa dan boleh kembali bertugas seperti sebelum ini,” katanya menerusi video yang dimuat naik menerusi laman sosial TikTok Rafique Rashid MEDIA TEAM hari ini.
Sementara itu, Mukhriz berterima kasih kepada semua pihak yang berkongsi rasa simpati serta turut bersama-sama mendoakan kesihatan Dr. Mahathir.
Semalam, Dr. Mahathir dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) di sini kira-kira pukul 9.30 pagi selepas dilaporkan terjatuh di kediamannya sehingga mengalami patah tulang pinggul. – MalaysiaGazette
















