Tinjauan MalaysiaGazette di lokasi pada mendapati, pasukan forensik polis sedang melakukan siasatan.

MELAKA – Polis menahan enam lelaki tempatan dan merampas sepucuk pistol disyaki tiruan dalam kes rusuhan melibatkan sekumpulan individu di sebuah pusat hiburan karaoke dan restoran di Melaka Raya, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, pihaknya menerima satu laporan polis berhubung kejadian merusuh serta dakwaan berlaku tembakan sekitar jam 4 pagi.

“Menurut beliau, hasil siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada provokasi dan salah faham melibatkan empat individu di pusat hiburan berkenaan sehingga menarik perhatian orang awam di sekitar kawasan tersebut.

“Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah dengan bantuan Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Melaka kemudian berjaya menahan enam lelaki tempatan berusia 20-an hingga 40-an bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini petang ini.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit

Christopher berkata, hasil tangkapan turut membawa kepada rampasan sepucuk pistol yang disyaki senjata tiruan daripada salah seorang suspek.

“Punca pergaduhan juga dikatakan sebab tidak berpuas hati dengan pemilihan lagu sewaktu mereka sedang mabuk.

“Bagaimanapun, polis menafikan dakwaan berlakunya tembakan dan penemuan dua kelongsong peluru seperti yang ditular dl media sosial.

“Seramai 12 orang saksi juga telah diambil keterangan dan mengesahkan tiada sebarang bunyi letupan senjata ketika kejadian tersebut,” katanya.

Kenyataan yang dikeluarkan polis

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 36 Akta Senjata 1960 kerana memiliki dan mengimport senjata tiruan, Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah serta Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

“Orang awam dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih daripada sumber tidak rasmi yang boleh menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Terdahulu, MalaysiaGazette melaporkan dakwaan beberapa saksi awam yang mendengar bunyi kuat disyaki tembakan di lokasi kejadian, sebelum polis menjalankan siasatan lanjut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast