JOHOR BAHRU – Johor Talent Development Council (JTDC) menjalin kolaborasi strategik bersama-sama Universiti Nanjing (NJU) iaitu universiti kedudukan ke-6 di China dan ke-103 di dunia.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Aznan Tamin berkata, inisiatif tersebut membuktikan komitmen Johor untuk memastikan pendidikan negeri sentiasa relevan, berdaya saing dan bertaraf antarabangsa.
“Perbincangan strategik ini dimuktamadkan melalui Pertukaran Surat Kolaborasi (LoC) melibatkan JTDC, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Nanjing sebagai asas kukuh kepada jalinan jangka panjang berteraskan kecemerlangan pendidikan tinggi.
“Antara tumpuan bagi LoC tersebut termasuklah program Student Exchange and Knowledge Transfer dalam penyelidikan bersama bertaraf antarabangsa yang akan diperkasakan.
“Ini bagi melonjakkan inovasi, mobiliti akademik dan pemindahan ilmu berimpak tinggi,” katanya dalam hantaran menerusi Facebook miliknya hari ini.
Beliau berkata, kolaborasi strategik itu merupakan manifestasi visi besar kerajaan negeri dalam membina ekosistem pendidikan bertaraf dunia demi melahirkan anak-anak Johor yang berilmu, berkemahiran dan berdaya saing global.
Mengenai lawatan tersebut, Aznan memberitahu, delegasi JTDC disambut secara rasmi oleh Naib Presiden Universiti Nanjing, Prof. Zhou Zhihua di Nanjing, China.
Beliau menyifatkan itu merupakan satu pertemuan berimpak tinggi yang memfokuskan masa depan kerjasama akademik Johor–China.
Delegasi JTDC katanya, turut dibawa melawat School of Computer Science dan State Key Laboratory for Novel Software Technology yang mempamerkan ekosistem penyelidikan dan inovasi bertaraf dunia yang bakal menjadi inspirasi kepada pembangunan bakat Johor.- MalaysiaGazette
















