Gambar hiasan.

JOHOR BAHRU – Seorang lelaki tergamak mencabul anak perempuan rakannya semasa melakukan kerja-kerja membaiki paip di rumah keluarga mangsa di Pasir Gudang di sini pada 1 Januari lalu.

Ibu remaja perempuan itu yang hanya mahu dikenali sebagai Sally, 46, berkata, kejadian tersebut berlaku pada pukul 2.30 petang di kediaman keluarganya.

Ketika kejadian lelaki berusia 40-an yang merupakan tukang paip itu mengunjungi kediamannya bagi menjalankan kerja membaik pulih paip.

“Ketika kejadian hanya anak perempuan saya berusia 15 tahun, anak lelaki serta bapa saya di rumah manakala saya ke rumah ibu yang berdekatan rumah kami.

“Menurut anak gadis saya, lelaki itu bertindak memeluk eratnya, meraba punggung serta menciumnya.

“Pada 2 Januari, lelaki itu mengulangi perbuatan itu sebelum anak perempuan saya menceritakan perbuatannya kepada keluarga kami,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Katanya, ia merupakan pertama kali lelaki berkenaan menjalankan kerja-kerja baik pulih paip di rumah keluarganya tetapi tidak menyangka sanggup mengambil kesempatan terhadap anak gadisnya.

Dia yang kini merupakan ibu tunggal berkata, suspek merupakan rakan sekolah kepada bekas suaminya.

Sally mendakwa semakin bimbang dengan anak perempuannya itu yang kelihatan trauma serta kerap menangis selepas kejadian tersebut.

“Kami berharap pihak polis mengambil tindakan sesuai terhadap lelaki itu. Dia harus dibawa ke muka pengadilan. Saya sudah membuat laporan di Balai Polis Seri Alam pada Ahad lalu,” katanya.

Sally juga mengadu masalahan itu kepada Pelindung Kanak Kanak Negeri Johor (Skuad Waja Insaniah Johor), M. Caren.

Caren merangkap pengasas pusat jagaan I Care Community Center di Skudai berkata, pihaknya turut menemani mangsa dan ibunya ke balai polis bagi membuat laporan.

“Kesan gangguan seksual terhadap kanak-kanak bukan hanya bersifat luaran, ia juga boleh meninggalkan trauma emosi bagi jangka panjang seperti ketakutan, rasa bersalah dan hilang keyakinan diri.

“Kami berharap tindakan tegas diambil terhadap pelaku itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, suspek sudah ditahan dan direman selama enam hari hingga 11 Januari ini untuk siasatan lanjut.

Mohd Sohaimi Ishak

“Polis mengesahkan menerima laporan daripada keluarga remaja perempuan itu. Siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya ketika dihubungi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast