KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menasihatkan seluruh penjawat awam supaya sentiasa mengekalkan integriti dan amanah dalam melaksanakan tanggungjawab demi kepentingan rakyat dan negara.
Nasihat itu dizahirkan oleh Sultan Ibrahim semasa menerima mengadap Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar di Istana Bukit Tunku.
Pertemuan itu dikongsikan dalam Facebook baginda.
Baginda bertitah, penjawat awam merupakan tunjang utama kepada pentadbiran negara serta memainkan peranan penting dalam memastikan dasar dan perancangan kerajaan dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Sultan Ibrahim turut menzahirkan kepentingan budaya kerja berteraskan nilai kejujuran, ketelusan dan kecekapan, selain menolak sebarang bentuk salah guna kuasa, rasuah serta penyelewengan hingga boleh menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap institusi awam. – MalaysiaGazette
















