Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bergambar bersama pengurusan tertinggi dan tetamu pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 Warga Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) di Dewan Markas SMART, Puchong. Foto MUHAIMIN MARWAN, 8 JANUARI 2026

PUCHONG – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak merasakan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh mahu meletakkan jawatannya susulan kesediaannya untuk berundur diri.

Sebagai ahli politik, walaupun tidak semua pandangan dan kritikan boleh diterima semua pihak namun beliau yakin Dr Akmal akan terus memperjuangkan idealismenya.

“Jangan begitu. Ini perjuangan politik. Dalam politik ini, bukan seorang yang setuju dengan kita. Kalau tidak setuju, tangani ketidaksetujuan itu dengan kejelasan bukan dengan tindakan-tindakan lain. Saya tidak tujukan pada beliau (Dr Akmal).

“Tetapi secara umum, mana-mana pemimpin pemuda, dalam parti apa sahaja begitu, dia mesti ada idealisme.

“Soal saranan itu diterima atau tidak. Idealisme itu tetap diperjuangkan dan ada keadaan-keadaan untuk kita santuni dan berdepan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 Warga Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) di sini hari ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 Warga Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) di Dewan Markas SMART, Puchong. Foto MUHAIMIN MARWAN, 8 JANUARI 2026

Semalam, Dr Akmal menerusi hantarannya di akaun Facebook miliknya memberi bayangan beliau mahu meletakkan jawatannya sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO susulan kesediaannya untuk berundur diri.

Sebelum ini, Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) menggesa Dr Akmal segera meletak jawatan sebagai exco kerajaan negeri dan melaksanakan pendirian beliau untuk keluar daripada Kerajaan Perpaduan.

Menurut Ahmad Zahid, beliau dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri pernah menggalas ketua sayap UMNO itu namun tidak salah untuk mempunyai idealisme yang berbeza dengan pucuk pimpinan.

“Kalau kena pandangan-pandangan yang berbeza atau komen-komen, kita mesti terima itu sebagai melayani, apa yang dipanggil sebagai perbezaan pendapat, adabul ikhtilaf.

“Kalau selama ini, kita kerap memberi komen dan kritik orang, bila orang kritik kita…kita kena terima. Kenapa bila orang kritik, kita kata, orang kritik itu tak demokratik, orang itu tak terima hakikat.

“Kita kena kritik semua atau orang yang tidak setuju dengan kita, mula kita mahu cari jalan singkat,” katanya lagi.

Ahmad Zahid seterusnya menasihatkan Dr Akmal agar tidak mudah putus asa dan tiada alasan untuk bangkit semula walaupun desakan dan pandangan beliau tidak diterima ketika ini.

“Saya pun pernah terlanggar gunung. Saya juga pernah terpijak kulit pisang dan tersungkur tetapi ketersungkuran itu tidak menyebabkan kita tidak boleh bangun semula,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Bayangan undur diri Dr Akmal cetus tanda tanya

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast