Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden berucap sempena perasmian Muktamar Dewan Pemuda Pas Malaysia ke-66 di Kompleks Pas Kedah, Alor Setar. Foto MUHAIMIN MARWAN, 12 SEPTEMBER 2025

KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda Pas Malaysia menggesa siasatan yang terbuka, telus dan tegas dijalankan bagi membersihkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) daripada sebarang unsur negatif susulan pendedahan kes rasuah serta dakwaan salah laku membabitkan pegawai tentera.

Ketua Dewan Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, perkembangan kes rasuah melibatkan rangkaian kartel tender perolehan Tentera Darat Malaysia (TDM) amat membimbangkan kerana ia menyentuh aspek kritikal pertahanan negara.

“Pendedahan demi pendedahan yang berlaku amat membimbangkan kerana ia melibatkan perolehan aset, kelengkapan serta perkhidmatan yang memberi kesan langsung terhadap tahap kesiapsiagaan angkatan tentera,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Menurut beliau, isu berkenaan bukan sahaja mencerminkan kelemahan tadbir urus dalam ATM, malah memberi kesan langsung terhadap kualiti aset pertahanan negara.

“Apabila kontrak dianugerahkan berasaskan sogokan dan bukannya merit serta keperluan sebenar, ATM berisiko memperoleh peralatan yang tidak memenuhi piawaian yang ditetapkan,” katanya.

Afnan Hamimi menegaskan, keadaan itu bukan sahaja mengakibatkan pembaziran wang rakyat, malah boleh membahayakan nyawa anggota tentera semasa latihan atau operasi sebenar.

Dalam masa sama, Pemuda Pas Malaysia turut memandang serius penularan dakwaan aktiviti tidak bermoral yang melibatkan pegawai ATM dan tular di media sosial.

“Perkara ini bukan sahaja mencemarkan imej ATM, malah menunjukkan masih wujud amalan budaya asing yang tidak selari dengan nilai dan jati diri tempatan dalam kalangan anggota tentera,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menekankan keperluan penghayatan ajaran Islam diterapkan secara lebih menyeluruh dalam kalangan anggota keselamatan negara bagi memperkukuh disiplin dan sahsiah.

Afnan Hamimi turut mendesak agar siasatan terhadap kedua-dua isu rasuah perolehan dan dakwaan salah laku dijalankan secara adil, telus dan tanpa sebarang kompromi.

“Langkah ini penting bagi membersihkan semula nama baik Angkatan Tentera Malaysia di mata rakyat serta masyarakat antarabangsa,” katanya.

Sebelum ini, Kementerian Pertahanan memaklumkan pihaknya memandang serius dakwaan terbabit dan telah mengarahkan ATM menjalankan siasatan dalaman segera, selain penahanan seorang bekas Panglima Tentera Darat bersama dua isterinya bagi membantu siasatan kes rasuah tender perolehan Tentera Darat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast