MELAKA – Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini membenarkan reman terhadap enam lelaki berusia 20-an hingga 40-an kerana disyaki terlibat dalam kes rusuhan dan pergaduhan di sebuah pusat karaoke dan restoran di Melaka Raya, awal pagi semalam.
Perintah reman bermula hari ini yang dikeluarkan Majistret N Sivashangari menyaksikan seorang lelaki direman empat hari manakala lima lagi direman satu hari.
Ia bagi membantu siasatan mengikut mengikut Seksyen 36 Akta Senjata 1960 kerana memiliki dan mengimport senjata tiruan, Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah serta Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Semalam, MalaysiaGazette melaporkan polis menahan enam lelaki tempatan dan merampas sepucuk pistol disyaki tiruan dalam kes merusuh serta dakwaan berlaku tembakan sekitar jam 4 pagi.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit dilaporkan berkata, pergaduhan dikatakan berpunca daripada rasa tidak berpuas hati dengan pemilihan lagu sewaktu mereka sedang mabuk.
“Siasatan awal mendapati, punca terbabit kemudian mengakibatkan berlaku provokasi dan salah faham melibatkan empat individu sehingga menarik perhatian orang awam di sekitar kawasan tersebut.
“Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah dengan bantuan JSJ Kontinjen Melaka kemudian berjaya menahan enam suspek bagi membantu siasatan,” katanya.
Christopher berkata, hasil tangkapan turut membawa kepada rampasan sepucuk pistol yang disyaki senjata tiruan daripada salah seorang suspek.
“Bagaimanapun, polis menafikan dakwaan berlakunya tembakan dan penemuan dua kelongsong peluru seperti yang ditular dl media sosial,” katanya. – MalaysiaGazette
















