Ketua Pengarah Kastam, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin menunjukkan kutipan hasil dan kes penguatkuasaan 2025 di Ibu Pejabat Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Presint 2, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 09 JANUARI 2026.

PUTRAJAYA – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mencatatkan kutipan hasil berjumlah RM76.18 bilion bagi tahun 2025 melepasi unjuran awal yang ditetapkan Kementerian Kewangan iaitu, RM67.25 bilion. 

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata, jumlah itu meningkat sebanyak RM10.51 bilion atau 16.18 peratus berbanding kutipan RM65.57 bilion pada tahun 2024.

“Seperti yang saya nyatakan pada siaran media 17 Disember lalu, JKDM berjaya merekodkan prestasi cemerlang dalam kutipan hasil iaitu sebanyak RM73.27 bilion melepasi unjuran hasil yang ditetapkan oleh Kementerian Kewangan sebanyak dua kali iaitu, RM67.25 bilion dan RM73.26 bilion.

“Sehingga 31 Disember 2025, JKDM merekodkan lebihan hasil sebanyak RM8.93 bilion atau 113.28 peratus berbanding unjuran awal,” katanya dalam sidang media Kejayaan JKDM dalam Kutipan Hasil dan Kes Penguatkuasaan sepanjang 2025 di Ibu Pejabat JKDM, di sini, hari ini. 

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin bercakap kepada media mengenai kutipan hasil dan kes penguatkuasaan 2025 di Ibu Pejabat Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Presint 2, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 09 JANUARI 2026.

Tambahnya, seiring dengan peningkatan ketara direkodkan pada 2025, prestasi kutipan hasil JKDM secara keseluruhannya memperlihatkan trend peningkatan yang konsisten dan berimpak tinggi bagi tempoh 2022 hingga 2025.

“Pada tahun 2022, JKDM merekodkan kutipan hasil sebanyak RM52.93 bilion sebelum meningkat kepada RM55.17 bilion pada tahun 2023, pertambahan sebanyak RM2.24 bilion atau 4.23% berbanding tahun sebelumnya.

“Momentum pertumbuhan kutipan hasil itu diperkukuh pada tahun 2024 apabila kutipan melonjak ketara kepada RM65.57 bilion, pertambahan sebanyak RM10.40 bilion bersamaan 18.85 peratus berbanding tahun 2023,” ujarnya.

Jelas beliau lagi, trend peningkatan berimpak tinggi itu diteruskan pada tahun 2025 apabila kutipan hasil mencatatkan paras tertinggi.

“Peningkatan dua tahun berturut-turut melebihi RM10 bilion bagi tempoh 2024 dan 2025, menzahirkan keberkesanan pendekatan strategik JKDM dalam memperkukuh pematuhan cukai, penguatkuasaan dan pemudahcaraan perdagangan secara menyeluruh,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast