Tan Sri Annuar Musa.

KUALA LUMPUR – Semangat Muafakat Nasional (MN) sekiranya berjaya diperkasa melalui organisasi atau satu corak gabungan dan muafakat politik yang tersusun serta ikhlas, bakal menguasai Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) dengan kemenangan lebih 130 kerusi Parllimen.

Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat, Tan Sri Annuar Musa berkata, dengan gabungan kerusi Parlimen dari Sabah dan Sarawak, `semangat’ MN itu bakal mempunyai majoriti dua pertiga untuk membentuk Kerajaan Pusat.

Beliau yang juga Pengerusi MN, sebuah badan bukan kerajaan menambah, proses itu sedang berjalan ketika ini dan diyakini akan membuahkan hasil tidak lama lagi.

Jelas beliau, rata-rata orang Melayu pasca PRU-15 masih mahukan kepada penyatuan, walaupun ia tidak lagi `solid’ kerana sebahagian kecil telah dibawa UMNO untuk bersama-sama Pakatan Harapan (PH) dan DAP.

Malah, sehingga kini, dakwa beliau, orang Melayu secara majoriti mahukan penyatuan, dan ramai mula meninggalkan UMNO termasuk ahli parti itu sendiri.

Ini kerana, ujarnya, UMNO dilihat lebih berminat bersama DAP dan PKR daripada berkerjasama dengan Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi melengkapkan penyatuan Melayu.

Bagaimanapun, kata beliau, konvensyen khas Pemuda UMNO berkenaan hala tuju parti itu dalam Kerajaan Madani baru-baru ini memperlihatkan suara akar umbi UMNO jelas mahukan MN secara organisasi dihidupkan semula.

Namun, tambahnya, suara penyatuan itu cuba dipatahkan oleh kelompok UMNO yang mesra DAP serta pemimpin yang dilihat tunduk kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan situasi itu sedang diperhatikan rakyat.

“Tidak di nafikan MN itu satu “winning formula” politik orang Melayu. Sama ada MN organisasi, atau MN sebagai satu semangat penyatuan.

“Namun sekiranya UMNO terus kekal dengan pendiriannya sekarang, dan hanya mahu bersendiri semasa pilihan raya (untuk mengelak tempias penolakan rakyat pada Kerajaan Madani), majoriti orang Melayu akan tetap bersatu dan mendokong “SEMANGAT MUAFAKAT NASIONAL” dan akan mara kehadapan tanpa UMNO,” katanya.

Tambah Annuar, MN sudah wujud bersama iltizam rakyat yang cintakan penyatuan berteraskan perpaduan orang Melayu, tanpa menunggu sesiapa. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Nak gelak ke nak nangis ni ..Kalau UMNO masih tetap percaya untuk bergabung dlm MN, maknanya RUYUT lah ke akar umbi PRU 16 nanti . Kita sama² tunggu.

Comments are closed.