KUALA LUMPUR – Seorang pemimpin Perikatan Nasional (PN), Datuk Sri Sanjeevan meluahkan rasa kecewa, bimbang sambil menyifatkan keadaan sebuah keluarga Orang Asli di Kampung Orang Asli Sungai Raya, Jempol, Negeri Sembilan sebagai kegagalan nyata kerajaan dalam menjaga kebajikan masyarakat terpinggir.
Sanjeevan, yang juga Naib Ketua Bersekutu Bersatu berkata, keluarga terdiri daripada suami, isteri dan empat anak kecil itu tinggal di rumah uzur tanpa bekalan elektrik dan tidak selamat untuk didiami selama belasan tahun.
“Ini bukan kisah lama. Ini realiti hari ini. Ini kegagalan kerajaan dan wakil rakyat,” tulisnya dalam Facebook beliau.
Beliau berkata, dirinya turun sendiri ke kampung berkenaan selepas menerima permintaan bantuan daripada keluarga terbabit dan apa yang disaksikan amat menyedihkan serta memalukan.
“Lebih memalukan apabila rumah terakhir dibina oleh Jabatan Kebajikan Orang Asli (JAKOA) di kampung ini adalah pada tahun 2010. Selama 16 tahun masyarakat Orang Asli di sini dibiarkan terpinggir begitu sahaja,” dakwanya.

Menurut beliau, isu itu bukan berpunca daripada kekurangan dana, sebaliknya kegagalan pentadbiran dan keutamaan kerajaan.
“Kerajaan boleh terus bercakap soal slogan Madani, tetapi selagi keluarga seperti ini wujud, semua itu hanyalah retorik kosong,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan ke mana perginya peruntukan JAKOA dan tanggungjawab kerajaan terhadap masyarakat Orang Asli.
“Rakyat berhak tahu ke mana peruntukan ini dibelanjakan. Kerajaan wajib dipertanggungjawabkan,” tegasnya.
Sanjeevan berkata, sebagai pembangkang beliau akan terus menekan kerajaan, namun sebagai manusia beliau tetap akan berusaha membantu keluarga berkenaan. -MalaysiaGazette
















