KUALA LUMPUR – Sebarang usaha penyatuan politik antara UMNO dan Pas tidak akan membawa kejayaan, malah berisiko mencetuskan masalah yang lebih besar dalam jangka panjang, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Puad Zarkashi.
Menurut beliau, jika isu penyatuan UMNO-Pas dibangkitkan dalam mesyuarat MKT akan datang, beliau tidak teragak-agak untuk menyuarakan bantahan secara terbuka terhadap cadangan tersebut.
“Ia bukan idea bagus. Saya percaya penyatuan atas nama politik tidak akan berjaya, bersifat sementara dan akan berakhir dengan sakit hati,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Puad menegaskan idea penyatuan atas dasar politik semata-mata bukanlah satu langkah yang bijak dan sukar untuk bertahan lama kerana ia hanya bersifat sementara serta berpotensi berakhir dengan konflik dalaman.
Mengulas lanjut, Puad mendakwa Pas mempunyai kecenderungan memanipulasi agama dalam politik dan berpendapat parti itu akan menggunakan UMNO sekadar sebagai alat untuk mencapai kuasa.
“Sebabnya, kalau Pas boleh salah gunakan agama maka apatah lagi dengan UMNO. Pas akan gunakan UMNO hanya untuk mendapatkan kuasa semata mata,” katanya.
Dalam pada itu, Puad turut menyifatkan Pas sebagai mempunyai “penyakit politik” yang sukar diubati, dengan rekod kerjasama politik yang sering berakhir dengan perpecahan.
“Atas kertas memang cantik. Tetapi Pas ada penyakit politik yang sukar disembuhkan. Pas suka berkahwin cerai politik. Cepat berkahwin tetapi cepat juga bercerai,” ujarnya.
Puad mengingatkan bahawa Pas sebelum ini pernah terlibat dalam beberapa gabungan politik seperti Angkatan Perpaduan Ummah (APU), Barisan Alternatif (BA), Pakatan Rakyat (PR) dan Perikatan Nasional (PN), yang kebanyakannya telah berakhir.
“Masalahnya bila bercerai, gabungan politik itu akan tutup kedai selama lamanya. PN hanya menunggu masa sahaja. Lebih baik tubuh kerjasama longgar. Ia mesti menyeluruh. Bukan setakat untuk PRU. Kalau kedua pihak ikhlas ia akan kuat dengan sendirinya,” katanya lagi.
Selasa lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan parti itu tidak mahu mengulangi kesilapan lalu dalam mempertimbangkan sebarang bentuk kerjasama politik dengan pembangkang termasuk menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN).
Ahmad Zahid berkata keadaan itu seolah-olah ‘dipatuk ular sama kali kedua di tempat yang sama’. – MalaysiaGazette
















