Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki bercakap pada sidang media sempena Perhimpunan Agung UMNO 2025 di PWTC, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 9 JANUARI 2026

KUALA LUMPUR – Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 yang akan berlangsung minggu depan tidak menghalang perwakilan membincangkan atau membangkitkan berkenaan kedudukan UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam Kerajaan Perpaduan.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, PAU 2025 juga tidak menghalang pewakilan menyuarakan isu berkenaan kerjasama dengan parti lain termasuk Pas menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).

Menurutnya, para perwakilan boleh menyentuh mengenai isu-isu itu termasuk polemik kedudukan MCA dan MIC dalam BN meskipun tidak ada satu pun daripada keseluruhan 662 usul yang diterima Ibu Pejabat UMNO sempena PAU 2025 menyentuh secara khusus isu-isu berkenaan.

“PAU tidak pernah menghalang sebarang isu untuk dibangkitkan memandangkan ia merupakan medan terbaik untuk para pemimpin UMNO mendengar suara ahli akar umbi,” katanya dalam sidang akhbar sempena PAU 2025 di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.

Sementara itu, ditanya mengenai status Ketua Pemuda UMNO, Asyraf Wajdi berkata, beliau tidak menerima sebarang permohonan rasmi daripada Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh untuk meletakkan jawatannya.

Sehubungan itu, beliau tidak boleh membuat kenyataan berhubung perkara tersebut dengan hanya berdasarkan laporan media yang memetik sumber, atau desas-desus yang berlegar di dalam media sosial.

Namun, ujarnya, atas kapasiti peribadi iaitu individu yang turut bertanggungjawab meletakkan Dr Muhamad Akmal pada kedudukan hari ini, beliau berpesan yang mana perbezaan pendapat dalam UMNO adalah perkara biasa.

“Saya dulu pernah jadi Ketua Pemuda, pandangan saya juga tidak diterima oleh semua ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) pada satu ketika, tetapi itu tidak menyebabkan kita harus mengundur diri atau lemah semangat kerana itu biasa di dalam tradisi berorganisasi.

“Kadang-kala pandangan kita itu diterima, kadang-kala pandangan itu tidak diterima,” katanya dalam sidang akhbar sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 hari ini.

Asyraf Wajid diminta mengulas laporan sebuah portal media yang mendakwa Dr. Muhamad Akmal menyatakan hasratnya untuk melepaskan jawatannya sebagai Ketua Pemuda UMNO dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau.

Memetik sumber, laporan itu mendakwa Dr. Muhamad Akmal memaklumkan perkara itu kepada sekumpulan pemimpin Pemuda UMNO menerusi mesej WhatsApp semalam, ketika masih berada di Shanghai, China.

Sementara itu, Asyraf Wajdi berkata, apa yang paling utama dalam prinsip UMNO adalah semua ahli dan pemimpin sentiasa berpandukan kepada semangat `syura’ (permuafakatan).

Agree to disagree dan kalau tak bersetuju akhirnya kita akan ada kata sepakat,” katanya.

Sebelum ini, Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Kebangsaan mendesak Dr Muhamad Akmal meletakkan jawatan sebagai Ketua Pemuda UMNO dan ADUN Merlimau susulan polemik gesaan keluar daripada Kerajaan Madani.

Bagaimanapun, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan kekal dalam Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal. – MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast