ISKANDAR PUTERI – Seorang pekerja kilang di Singapura maut selepas melanggar lori yang mengubah haluan dalam nahas tiga kenderaan di Kilometer 11.5 Lebuhraya Linkedua, arah utara, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, kejadian berlaku pukul 4 petang melibatkan sebuah lori dan dua motosikal jenis Yamaha Tracer 9 GT serta Honda CBR 650.
“Siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila pemandu lori yang sedang memandu di lorong tengah telah mengubah haluan ke lorong kanan.
“Mangsa yang maut iaitu lelaki tempatan yang berusia 29 tahun menunggang Yamaha Tracer 9 GT sedang berada di lorong kanan telah melanggar bahagian belakang lori tersebut.
“Mangsa kemudian terjatuh di lorong kanan. Di lorong yang sama dari arah belakang datang sebuah Honda CBR 650 tidak sempat untuk mengelak lalu melanggar mangsa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, pelanggaran tersebut menyebabkan penunggang Honda CBR 650 terjatuh juga di lorong kanan.
Katanya, penunggang Yamaha Tracer 9 GT mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan meninggal dunia manakala penunggang Honda CBR 650 mengalami kecederaan ringan pada bahagian tangan kanan.
Sementara pemandu lori tersebut katanya, tidak mengalami sebarang kecederaan, mayat dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru.
Tambahnya, kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu menyebabkan kematian kerana memandu secara melulu dan berbahaya.
Kumarasan meminta saksi kejadian yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian itu untuk menghubungi kaunter aduan Bahagian Siasatan Polis Trafik Daerah (BSPTD) Iskandar Puteri 07-5101322.- MalaysiaGazette
















