KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) 1.0 perlu mempunyai harga diri untuk memohon maaf kepada Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi susulan keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) yang tidak mengambil tindakan lanjut (NFA) terhadap 47 tuduhan melibatkan Presiden UMNO berkenaan.
Exco Pemuda UMNO, Muhamad Nur Aizat Noor Azam berkata, pemimpin PH 1.0 sebelum ini menjadikan kes itu sebagai modal politik, menuduh dan menghukum Ahmad Zahid dan UMNO di ruang awam sebelum proses kehakiman selesai.
Ujarnya, selama bertahun-tahun, Ahmad Zahid telah dilabel dengan gelaran `Zahid 47’ yang dibawa sebagai satu naratif politik yang digunakan secara agresif untuk membentuk persepsi bersalah di mata rakyat, seolah-olah angka pertuduhan itu sendiri sudah menjadi bukti bahawa UMNO adalah sebuah parti yang korup.
“Hari ini, naratif itu runtuh. 47 pertuduhan yang dijadikan slogan politik akhirnya tidak disokong oleh keterangan yang mencukupi untuk diteruskan di mahkamah.
“Maka persoalan yang wajar dan adil untuk dibangkitkan ialah: siapa yang harus bertanggungjawab terhadap naratif palsu dan penghakiman awam yang telah dibina selama ini?
“Kes ini tidak berlaku dalam vakum. Ia adalah hasil daripada budaya politik era Kerajaan PH 1.0, di mana pendakwaan, gelaran dan persepsi awam digunakan sebagai senjata politik, tanpa mengira implikasi jangka panjang terhadap institusi keadilan dan reputasi individu,” katanya dalam satu kenyataan.
AGC semalam mengumumkan bahawa jabatan itu mendapati keterangan tidak mencukupi untuk meneruskan pertuduhan terhadap Ahmad Zahid susulan siasatan lanjut, sekali gus memuktamadkan kes berkait Yayasan Akalbudi yang telah lama berlarutan.
Menurut Muhamad Nur Aizat yang juga peguambela dan peguamcara, keberanian menuduh mesti disertai dengan keberanian untuk bertanggungjawab apabila tuduhan tersebut tidak disokong oleh fakta dan undang-undang.
Katanya, pemulihan keyakinan rakyat terhadap politik dan sistem keadilan hanya boleh berlaku apabila akauntabiliti ditegakkan, bukan hanya kepada yang dituduh, tetapi juga kepada mereka yang menuduh.
“Keadilan bukan sekadar membuktikan siapa tidak bersalah, tetapi memastikan mereka yang memutarbelit kebenaran tidak lepas tanpa tanggungjawab,” katanya.
Dalam masa sama, tegasnya, Pemuda UMNO tidak tunduk kepada tekanan politik, tidak menunduk kepada gelaran dan propaganda, dan tidak berdiam diri apabila undang-undang diperalatkan.
“Pemuda UMNO berdiri atas prinsip bahawa keadilan tidak boleh dipolitikkan, persepsi tidak boleh mengatasi fakta dan sesiapa yang menuduh secara terbuka wajib bertanggungjawab secara terbuka,” katanya. – MalaysiaGazette
















