Antara lori yang dirampas selepas dikesan melakukan aktiviti pemindahan minyak sawit mentah tanpa lesen sah di Hentian Rehat dan Rawat (RnR) Seremban arah utara Lebuhraya Utara-Selatan, Negeri Sembilan. FOTO Batalion 4 PGA

KUALA LUMPUR – Dua pemandu lori termasuk seorang warga emas ditahan disyaki melakukan aktiviti pemindahan minyak sawit mentah tanpa lesen sah di Hentian Rehat dan Rawat (RnR) Seremban arah utara Lebuhraya Utara-Selatan, Negeri Sembilan.

Pegawai Pemerintah Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA), Superintendan Amanjit Singh berkata, pihaknya telah menahan lori bersama dua suspek warga tempatan berusia 37 dan 68 tahun menerusi Ops Taring Palma – (Op Bersepadu Intra/ Inter).

Katanya, tangkapan dibuat berdasarkan maklumat oleh sepasukan anggota daripada cawangan Risik Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih da Batalion 19 PGA Cheras pada 12 tengah hari, semalam.

“Pemeriksaan lanjut ke atas lori berkenaan mendapati terdapat lima unit tong IC berkapasiti 1,000 liter, di mana salah satunya berisi cecair dipercayai minyak sawit mentah dianggarkan 200 liter.

“Semua tangkapan dan rampasan diserahkan kepada pihak penguatkuasaan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Cawangan Wilayah Tengah di atas kesalahan memindah minyak sawit mentah tanpa lesen yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM 622,500 dan kes disiasat mengikut Akta 582 Lembaga Minyak Sawit Malaysia 1998.

“Masyarakat diseru untuk bekerjasama dalam menyalurkan sebarang maklumat kepada polis berkaitan sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast