ALOR GAJAH – Seorang warga emas terselamat dalam kebakaran yang memusnahkan hampir keseluruhan rumahnya di Kampung Solok Dekat, Pengkalan Balak, di sini semalam dipercayai berpunca daripada api sebelum menggoreng ikan selar.
Ramli Hasan, 68, berkata, kejadian berlaku kira-kira hampir jam 2 petang hari ketika isterinya, Bainah Nordin, 67, sedang menyediakan makan tengah hari sementara dia ke masjid untuk solat Zohor.
“Sebaik tiba sahaja pulang ke rumah saya terkejut melihat api sudah marak dan isteri masih berada sedang cuba memadamkan api yang semakin besar.
“Saya memanggilnya keluar beberapa kali sebelum anak saudara yang tinggal berhampiran akhirnya berjaya membawanya keluar,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.

Pesara tentera itu berkata, sebelum keluar ke masjid, isterinya ada memberitahu mahu menggoreng ikan selar namun tidak sempat memasukkannya ke dalam minyak panas di dalam kuali apabila api menyambar begitu pantas.
“Walaupun hampir keseluruhan rumah musnah apabila lebih 85 peratus terbakar, saya dan isteri yang tinggal berdua di situ bersyukur kerana terselamat,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Melaka, Timbalan Penguasa Bomba II Mohd Hafidzatullah Rashid, berkata pihaknya menerima panggilan awam berhubung kebakaran itu jam 1.48 tengah hari.
“Sebaik tiba, didapati kebakaran melibatkan sebuah rumah separuh kekal berkeluasan kira-kira 30 x 70 kaki persegi dan pemadaman melibatkan seramai 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Masjid Tanah
“Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 2.13 petang dan operasi ditamatkan pada jam 3.46 petang,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata tiada mangsa dilaporkan terlibat dan punca kebakaran juga masih dalam siasatan.
Dalam pada itu, pihak Masjid Al-Jawahir turut membuka Rayuan Derma Kilat bagi membantu meringankan beban mangsa yang kehilangan tempat tinggal dan keperluan asas.
Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Maybank mangsa 154101136236 (Ramli Hasan). – MalaysiaGazette
















