KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Bersatu Bahagian Indera Mahkota berharap agar Lembaga Rayuan akan mempertimbangkan rayuan bakal dikemukakan oleh Datuk Seri Saifuddin Abdullah secara adil, telus dan berhemah demi keutuhan parti.
Timbalan Ketua yang juga Pemangku Ketua Bahagian Bersatu Indera Mahkota, Mat Zahid Abu Hassan berkata, mereka kesal terhadap keputusan Lembaga Disiplin parti yang memutuskan pemecatan Saifuddin tanpa perbicaraan yang adil.
”Jawatankuasa turut bersolidariti bersama Saifuddin dan menyatakan sokongan berterusan kepada kepimpinan beliau,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, tiga ketetapan tersebut adalah hasil persetujuan sebulat suara ahli jawatankuasa Bersatu Bahagian Indera Mahkota yang bermesyuarat semalam.
Terdahulu, Lembaga Disiplin Bersatu yang bermesyuarat pada 6 Januari lalu membuat keputusan memecat Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota daripada parti itu berkuat kuasa serta-merta.
Berdasarkan surat pemecatan tersebut, tindakan itu diambil kerana Saifuddin didakwa melanggar Klausa 9.1.4 Perlembagaan parti yang mewajibkan ahli mematuhi perlembagaan, kod etika dan tatakelakuan parti.
Bagaimanapun, Lembaga Disiplin Bersatu memberi tempoh 14 hari berkuat kuasa pada Selasa untuk Saifuddin mengemukakan rayuan.
Sementara itu, Saifuddin memaklumkan, beliau akan membuat rayuan terhadap keputusan tersebut.
Pada November tahun lalu, Saifuddin yang juga bekas Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pahang dipanggil Lembaga Disiplin Bersatu untuk siasatan susulan gesaannya supaya Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan. – MalaysiaGazette
















