Ketua Penerangan Pas Selangor, Dr Yusfarizal Yussoff
Ketua Penerangan Pas Selangor, Dr Yusfarizal Yussoff.

KUALA LUMPUR – Penganjur ‘Glamping With Pride’ diingatkan supaya tidak terlalu angkuh dan sombong untuk meneruskan penganjuran program yang mencetuskan kemarahan umat Islam itu.

Peguam, Yusfarizal Yussoff berkata, penganjuran program itu bukan sahaja bercanggah dengan tatasusila, sensitiviti dan keharmonian masyarakat di Selangor, bahkan berpotensi melanggar fatwa-fatwa berkaitan dan undang-undang.

Menurut beliau, sekiranya program itu membabitkan aktiviti tidak bermoral berkait budaya songsang dan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), maka tindakan boleh diambil.

Beliau yang juga Ketua Penerangan Pas Selangor menegaskan, sekiranya orang Islam menyertai program itu, Jabatan Agama Islam boleh membuat tindakan atas kesalahan melanggar fatwa menurut Seksyen 12 dan 13 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.

ARTIKEL BERKAITAN

https://malaysiagazette.com/2026/01/10/mais-tegas-tolak-cubaan-normalisasi-budaya-songsang-lgbt/

Jelasnya, mereka juga boleh diambil tindakan atas kesalahan perlakuan tidak sopan di tempat awam yang bertentangan dengan hukum syarak menurut Seksyen 31 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.

“Sekiranya mereka bukan Islam (dan Islam), mereka juga boleh diambil tindakan dibawah Seksyen 377D kerana melakukan kelucahan melampau di tempat awam atau persendirian,” katanya dalam satu kenyataan.

Media sebelum ini melaporkan, program ‘Glamping With Pride’ yang dijadualkan berlangsung di Hulu Langat hujung minggu depan tetap akan diteruskan walaupun mendapat bantahan pebagai pihak.

Program anjuran kumpulan pro-LGBT yang dikenali sebagai Jejaka itu digambarkan sebagai satu retreat berasaskan komuniti yang memberi tumpuan kepada kesejahteraan, sokongan rakan sebaya serta kesedaran kesihatan.

Sehubungan itu, menurut kumpulan tersebut, aktiviti tersebut tidak melanggar undang-undang negara.

Sementara itu, Yusfarizal berkata, bagi umat Islam, budaya songsang dan LGBT adalah haram sebagaimana ditetapkan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor yang memfatwakan pengkid (perempuan berpakaian lelaki) sebagai haram pada 2009.

Malah, ujarnya, pada 2018, Mufti Selangor telah menegaskan bahawa LGBT adalah haram dan merupakan penyakit mental.

“Walaupun kesalahan liwat telah dikeluarkan daripada Enakmen Jenayah Syariah Selangor lantaran cabaran kuasa gubalan negeri dalam kes Iki Putra Mubarak, fatwa-fatwa berkenaan tetap sah.

“Oleh yang demikian, sebagai orang Islam, aktiviti berunsur LGBT adalah haram,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa Kerajaan Negara Selangor supaya mengambil tindakan tegas dengan segera bagi mencegah program tersebut.

“Kita tidak mahu negeri ini dicemari budaya songsang, yang sudah berani dilakukan secara terbuka tanpa segan silu,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast