Ahmad Yahaya.

KUALA LUMPUR – Dewan Ulamak Pas Pusat (DUPP) menyuarakan kebimbangan terhadap perkembangan ideologi lesbian, gay, biseksual dan transgender LGBT yang didakwa semakin terbuka mempromosikan aktiviti mereka kepada masyarakat.

Ketuanya, Datuk Ahmad Yahaya menegaskan, kerajaan dan pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas terhadap penganjuran program berkaitan, termasuk acara ‘Glamping with Pride’.

Beliau berkata, penganjuran acara yang dikaitkan dengan kumpulan jejaka itu menimbulkan keresahan rakyat berikutan keberanian golongan terbabit menzahirkan identiti serta aktiviti mereka secara terbuka.

“Keadaan itu dibimbangi akan merosakkan pemikiran masyarakat dan menormalisasikan budaya songsang dalam negara jika tidak dibendung.

“Malaysia masih tegas berpegang dengan prinsip menolak ideologi LGBT dan tidak wajar membenarkan sebarang bentuk aktiviti yang boleh memberi ruang kepada penyebaran fahaman tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena menggesa kerajaan merangka pelan tindakan menyeluruh bagi memastikan negara dan rakyat bebas daripada penyebaran ideologi berkenaan.

Beliau turut mengaitkan dasar serta polisi tertentu pada masa lalu, termasuk pemberian ubatan PrEP, sebagai antara faktor yang didakwa menyumbang kepada perkembangan golongan tersebut.

Sehubungan itu, beliau menegaskan sudah tiba masanya kerajaan bertindak secara proaktif dan tegas bagi mengelakkan normalisasi berterusan, yang menurutnya boleh menjejaskan masa depan rakyat dan negara sekiranya tiada penguatkuasaan berkesan dilaksanakan. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast