KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO Kelantan menyelar Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kelantan yang mendesak Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh supaya meletak jawatan sebagai Exco Melaka.
Ketuanya, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani berkata, Dr. Muhamad Akmal dipilih secara sah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau dan dilantik sebagai Exco oleh Ketua Menteri Melaka mengikut Perlembagaan negeri, bukan melalui belas ihsan AMK atau Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Malah, ujarnya, Kerajaan Negeri Melaka dibentuk atas majoriti penuh Barisan Nasional (BN) tanpa kebergantungan kepada mana-mana gabungan lain.
Sehubungan itu, tambah beliau, AMK Kelantan tidak mempunyai asas untuk mendesak Dr Muhamad Akmal meletakkan jawatan dalam kerajaan negeri sendiri yang dipilih secara sah menerusi mandat rakyat.
“Hujah bahawa seseorang hanya layak bersuara apabila “tidak mempunyai peruntukan dan keistimewaan” adalah pemikiran sempit.
“Jika logik ini diterima, maka adakah semua wakil rakyat kerajaan perlu berdiam diri dan tunduk dengan budaya “tutup mulut demi jawatan?” katanya dalam satu kenyataan.
Sebelum ini, Ketua AMK Kelantan, Ezzat Hanuzi mendesak Dr Muhamad Akmal meletak jawatan sebagai Exco Melaka bagi membolehkan Ketua Pemuda UMNO Pusat itu bergerak sebagai ADUN biasa tanpa sebarang peruntukan khas.
Menurutnya, Dr Muhamad Akmal juga boleh memberikan arahan kepada semua Pemuda UMNO di setiap bahagian supaya melepaskan jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC), sekali gus bergerak sebagai pembangkang bermaruah.
Sementara itu, Mohd Azmawi Fikri turut menyifatkan desakan supaya Pemuda UMNO melepaskan jawatan dalam GLC bersifat hipokrit dan selektif.
Ini kerana, ujarnya, AMK dan PKR sendiri tidak pernah menunjukkan konsistensi prinsip yang sama ketika mereka berada dalam kerajaan negeri mahupun Kerajaan Persekutuan.
“AMK Kelantan wajar memberi tumpuan kepada pengukuhan dasar, tawaran alternatif kepada rakyat dan kerja politik yang lebih substantif, daripada sibuk mengatur siapa perlu meletakkan jawatan dalam parti dan kerajaan lain.
“Politik matang tidak dibina dengan serangan simbolik, tetapi dengan hujah, dasar dan khidmat kepada rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette
















