KUALA LUMPUR – Isu kepengerusian Perikatan Nasional (PN) sebagai sebuah gabungan politik mestilah diselesaikan dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan secara kolektif oleh kepimpinan parti, kata ARMADA Bersatu.
Penolong Setiausahanya, Mohd Fahim Mohd Farid berkata, jawatan Pengerusi PN mestilah disandang oleh mana-mana Presiden parti gabungan yang mempunyai kuasa dan autoriti mewakili parti masing-masing.
Tegasnya, perihal itu penting bagi memastikan keabsahan dan kelancaran pentadbiran PN.
“Biro Politik ARMADA menjunjung titah pedoman Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail Raja Negeri Perlis untuk Perikatan Nasional meneruskan kelangsungan pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis yang mengutamakan kepentingan rakyat, pembangunan dan kesejahteraan negeri,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Dalam pada itu, Biro Politik ARMADA katanya, mengecam keputusan Jabatan Peguam Negara untuk mengklasifikasi kes Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang melibatkan kesalahan pecah Amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi sebagai tiada tindakan lanjut “No Further Action”.
Menurut beliau, keputusan tersebut mencemarkan imej institusi Jabatan Peguam Negara di mata dunia.
“Kes yang sudah mencapai “Prima Facie” sebelum pilihanraya 2022 telah diberi pembebasan tanpa membebaskan pada 4 September 2023, tambahan lagi yang terkini pada 8 Januari 2026 kes ini telah diberi status NFA.
Berdasarkan fakta tersebut sukar untuk rakyat Malaysia berpendapat bahawa institusi berkenaan menjalankan amanah dengan adil, telus dan saksama,” ujarnya lagi.
Tambahnya, ARMADA ingin menegaskan bahawa tanggungjawab institusi adalah untuk mempertahankan kepentingan rakyat Malaysia dan bukan untuk melindung golongan berkuasa. -MalaysiaGazette
















