Peserta antarabangsa dari National University of Singapore (NUS) mengikuti sesi amali seni manik tradisional Sabah.

KOTA KINABALU – Inisiatif menerusi Program Native Sabahan Beadswork yang diadakan di Bangunan Fakulti Pendidikan dan Pengajian Sukan (FPPS), Universiti Malaysia Sabah baru-baru ini mampu memperkenalkan serta memartabatkan seni kraf manik tradisional masyarakat pribumi negeri ini.

Ketua Unit Penyelidikan Pendidikan Luar Bandar (UPPLB) FPPS, Profesor Madya Dr. Connie Shin @ Connie Cassy Ompok berkata, program anjuran UPPLB itu memberi pendedahan kepada peserta mengenai nilai budaya serta identiti warisan tempatan yang menjadi asas kepada pembentukan jati diri masyarakat Sabah.

“Program ini untuk meningkatkan kefahaman dan penghargaan terhadap kepelbagaian budaya melalui aktiviti pembelajaran secara praktikal dan berasaskan pengalaman.

“Menerusi penyertaan seramai 16 peserta yang turut melibatkan pelajar Fakulti Sains, National University of Singapore (NUS), ini sekali gus berperanan sebagai platform pertukaran budaya dan pengetahuan antara institusi antarabangsa,” katanya.

Beliau turut menyampaikan penghargaan dari FPPS kepada pelbagai pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menyokong dan menjayakan program tersebut.

“Program seumpama ini diharapkan dapat diteruskan pada masa akan datang bagi menyokong usaha pemeliharaan dan pelestarian warisan budaya Sabah,” ujar beliau.

Majlis perasmian program tersebut disempurnakan oleh Dekan FPPS, Profesor Madya Dr. Soon Singh a/l Bikar Singh yang turut menyempurnakan penganugerahan sijil kepada peserta yang terlibat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast