Dr. Muhamad Akmal Saleh hari ini bertemu Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh. - Foto: FB Akmal Saleh

KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh terus mencetuskan tanda tanya selepas berkongsi foto pertemuan dengan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Menurut Dr. Muhamad Akmal yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, beliau telah menyampaikan hasrat dan meluahkan isi hatinya kepada Ab Rauf pada pertemuan hari ini.

Menerusi perkongsian di laman sosial Facebooknya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu berkata, Ab Rauf merupakan individu yang memperkenalkan perjuangan UMNO kepadanya sejak beliau menjadi pemimpin mahasiswa.

“Individu yang banyak mengajar saya tentang dunia kepimpinan dan perjuangan.

“Terima kasih bang, jasa dan ilmu yang abg berikan tidak mampu saya balas satu persatu. Saya berbangga dapat berkhidmat bersama,” katanya.

Sebelum ini, wujud desas-desus Dr Muhamad Akmal akan meletakkan jawatan sebagai Ketua Pemuda UMNO dan Exco Kerajaan Negeri Melaka, susulan kontroversi gesaan supaya UMNO keluar daripada Kerajaan Madani.

Desakan itu dibuat khususnya oleh beberapa pemimpin DAP susulan kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menegaskan UMNO akan kekal dalam Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal.

Dr Muhamad Akmal sebelum ini juga memaklumkan beliau akan membuat kenyataan berhubung kedudukannya dalam parti dan Kerajaan Negeri Melaka pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 yang akan bermula lusa. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast