KUANTAN – Akibat gelap mata dengan janji pulangan lumayan pelaburan saham, seorang doktor kerugian RM888,000 wang simpanan peribadi, pinjaman peribadi, pelaburan Amanah Saham Bumiputera (ASB) serta Tabung Haji miliknya.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, mangsa seorang lelaki tempatan berumur 44 tahun telah diperdaya suspek melalui iklan pelaburan saham di laman facebook menggunakan nama Financial Faiz pada 18 September lepas.
“Mangsa berurusan melalui aplikasi WhatsApp dan telah dimasukkan ke dalam satu kumpulan WhatsApp dikenali sebagai Aura Wealth Navigation.
“Suspek telah menawarkan skim pelaburan saham dikenali sebagai TNB Aura yang menjanjikan pulangan keuntungan antara 18 peratus hingga 22 peratus serta keuntungan sehingga 500 peratus sekiranya sasaran pelaburan bagi 24 jenis saham yang ditawarkan dapat dicapai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Yahaya, mangsa turut diarahkan memuat turun dan memasang satu aplikasi pelaburan bernama AURAMY melalui pautan yang diberikan suspek bagi tujuan pendaftaran sebagai ahli pelaburan.
Susulan itu, bermula dari 8 November 2025 hingga 7 Januari 2026, mangsa telah membuat sebanyak 21 transaksi pindahan wang ke dalam lima lima akaun bank berbeza yang didaftarkan atas nama beberapa syarikat berkaitan, melibatkan jumlah keseluruhan kerugian sebanyak RM888,000.
“Mangsa hanya menerima keuntungan sekali sahaja pada peringkat awal pelaburan berjumlah RM1,000 sebelum gagal menerima sebarang pulangan seterusnya seperti yang dijanjikan.
“Mangsa kemudian menyedari telah ditipu dan tampil membuat laporan polis untuk tindakan lanjut,” tambahnya lagi.
Menurut Yahaya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Beliau menasihati orang ramai supaya merujuk dan mendapatkan nasihat awal daripada balai polis berdekatan sebelum membuat sebarang pelaburan bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan.
Selain itu, orang awam juga dinasihatkan untuk membuat semakan nombor akaun melalui laman sesawang https://semakmule.rmp.gov.my//sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan.
Sekiranya mengesyaki telah menjadi mangsa penipuan, orang ramai diminta untuk segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997. – MalaysiaGazette
















