KUALA LUMPUR – Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan ucapan tahniah kepada agensi-agensi serta tokoh-tokoh tertentu oleh jabatan itu adalah sebagai manifestasi hubungan profesional.
Selain itu, jabatan tersebut dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, ucapan itu juga sebagai penghormatan antara institusi dan semangat kerjasama yang berterusan antara jabatan ini dengan seluruh jentera pentadbiran negara.
Menurutnya, ucapan tahniah yang dizahirkan juga adalah sebahagian daripada budaya saling menghormati dan sokongan terhadap usaha-usaha baik yang dilaksanakan oleh badan-badan rasmi kerajaan.
“Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan sebagai salah sebuah agensi kerajaan di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) merupakan rakan strategik kepada semua agensi di peringkat Persekutuan dan Negeri dalam usaha memperkukuh tadbir urus yang baik, memelihara keharmonian masyarakat serta memperkasa nilai-nilai Islam dalam pentadbiran dan kehidupan bernegara,” katanya.
Terdahulu, laman sosial Facebook Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan ‘diserang’ oleh netizen dengan majoriti mengkritik susulan ucapan tahniah kepada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Ucapan tahniah itu susulan pelantikan Azam sebagai Profesor Adjung Pengurusan Teknologi Bagi Program Doktor Falsafah PIPK di Institut Pengurusan Teknologi dan Keusahawanan (IPTK) Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).
Sementara itu, kenyataan tersebut menambah, Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan turut berperanan sebagai badan penasihat kepada Yang di-Pertuan Agong serta kerajaan dalam perkara-perkara berkaitan hukum syarak dan kepentingan agama Islam.
Menurutnya, peranan nasihat itu dilaksanakan secara menyeluruh merangkumi semua peringkat dengan pendekatan yang berhikmah, berhemah serta berlandaskan prinsip nasihat yang baik sebagaimana dituntut oleh syarak.
Tegasnya, Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan juga bukanlah sebuah badan berkepentingan atau badan politik.
“Jabatan ini berdiri sebagai sebuah institusi ilmiah dan autoritatif dalam hal ehwal agama, serta berfungsi sebagai rakan strategik kepada semua pihak tanpa mengira latar belakang, selagi mana ia menjurus kepada kemaslahatan agama, masyarakat dan negara,” katanya. – MalaysiaGazette
















