Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

KUALA LUMPUR – Kekusutan yang sedang berlaku di dalam Perikatan Nasional (PN) ketika ini hanya boleh diselesaikan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut pensyarah dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim, secara teknikal dan perundangan, Muhyiddin masih lagi merupakan Pengerusi PN yang sah.

Katanya, walaupun sudah mengumumkan melepaskan jawatan Pengerusi PN, namun ia masih belum berkuat kuasa secara rasmi dan Muhyiddin masih boleh memanggil mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) dan membuat keputusan-keputusan eksekutif.

Dalam masa sama, ujar beliau, PN juga merupakan gabungan empat parti iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu); Pas; Gerakan dan Malaysia Indian People Party (MIPP).

Sehubungan itu, tambahnya, segala keputusan PN sama ada untuk menerima peletakan jawatan pengerusi, melantik pengerusi baharu dan sebagainya perlu diputuskan secara kolektif.

Prof Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim

“Dalam kes ini, walaupun Muhyiddin ada sedikit masalah dengan Pas, tapi tiga parti lain secara umumnya masih bersama beliau.

“Dengan dua faktor besar tersebut, beliau adalah faktor paling dominan yang berupaya menyelesaikan kemelut PN sekarang,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Ketika ini, hala tuju PN dilihat terus buntu selepas polemik politik di Perlis yang menyaksikan pergeseran terbuka antara pemimpin Bersatu dan Pas.

Situasi semakin parah sehingga mendorong Muhyiddin mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi PN berkuat kuasa 1 Januari lalu, dengan Pas pula dilihat berdepan kesukaran mencari pengganti jawatan tersebut sehingga kini.

Sementara itu, Mohd Yusri yang juga Felo Penyelidik Unit Literasi dan Advokasi Politik UMT berkata, disebabkan kedudukan Muhyiddin yang disifatkan masih berpengaruh di dalam PN, maka Pas tiada pilihan sebaliknya perlu berunding segera dengan beliau.

Ujarnya, meskipun bakal berdepan kesukaran dan akan melibatkan situasi tawar-menawar, namun Pas perlu berunding bagi meredakan kemelut politik di dalam PN ketika ini.

“Adat berunding sudah tentu ada tawar-menawar. Tidak mudah, tetapi pasti ada jalannya.

“Apabila elemen give and take seimbang, persetujuan biasanya akan dapat dicapai,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast