Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Ir. Izham Hashim bercakap pada sidang media berkenaan operasi penternakan babi ketika di Pejabat SUK, Selangor. Foto FAREEZ FADZIL, 12 JANUARI 2026.

SHAH ALAM – Pemindahan ladang operasi penternakan babi ke Bukit Tagar yang sepatutnya dilaksana 2030 akan dipercepatkan kepada tahun ini.

Exco Infrastruktur Pertanian Negeri Selangor, Datuk Izham Hashim berkata, pemindahan dijangka bermula selepas isu pengambilan tanah oleh pemilik swasta dan penternak selesai.

Katanya, kerajaan negeri memberi jaminan kawasan penternakan di Bukit Tagar itu akan menyelesaikan isu pencemaran bau dan air.

“Isu tanah kita akan percepatkan. Tidak akan menggunakan duit daripada kerajaan negeri Selangor, ini usaha antara pihak swasta, kerajaan negeri hanya jadi pemudah cara,” katanya ketika sidang media di pejabatnya hari ini.

Sehubungan itu, katanya, operasi penternakan di Kuala Langat akan ditamatkan.

“Kita tidak akan keluarkan lesen lagi selepas ini,” katanya lagi.

Terdahulu, Izham berkata, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak berkenan supaya operasi penternakan di Kuala Langat disambung walaupun untuk sementara waktu.

Sebab itu, katanya, pemindahan perlu dilakukan dengan segera.

Mengulas lanjut, Izham memberitahu, lokasi penternakan baharu di Bukit Tagar yang meliputi 500 ekar tanah adalah jauh daripada penempatan dan penduduk tempatan.

“Kita akan bagi masa penternak pindah. Penternakan itu akan jadi satu tempat sahaja iaitu Bukit Tagar. Semua maklum ia kawasan jauh, kawasan itu kawasan sampah.

“Bukan buat di tepi rumah. Kalau penternakan yang sebelum ini jadi isu sebab selepas pembangunan kawasan menjadi lebih dekat dengan penduduk,” katanya lagi.

Selain itu, Izham berkata, selain tertutup, kerajaan negeri akan menetapkan syarat yang ketat bagi penternakan di Bukit Tagar termasuk kawasan tersebut perlu sertakan dengan kemudahan penampan setiap ladang.

“Ia akan jadi ladang penternakan babi moden bagi mengelakkan bau dan selamat daripada penyakit. Selain itu apabila dilaksanakan secara tertutup air kumbahan tidak akan mengalir ke sungai,” tambahnya.

Izham berkata, perkara tersebut antara yang telah dipersembahkannya kepada Sultan Selangor di Istana Bukit Kayang pada pagi tadi.

Dalam masa yang sama, Izham yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Pandan Indah berkata, perkara berkenaan akan dibincangkan di dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada Rabu ini.

Sebagai rekod, sebelum ini, kerajaan negeri berkata, rancangan operasi penternakan babi di kawasan Tanjong Sepat, Kuala Langat yang dijadual bermula tahun ini sebelum dipindahkan ke Bukit Tagar pada 2030. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast