Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Pahang, Sim Chon Siang (tengah, belakang) bergambar bersama Pengetua SMK (P) Methodist Kuantan, Josephine Hezrin Azhar (kanan, belakang); Yang diPertua PIBG SMK (P) Methodist Kuantan, Khairul Azmi Khalid (kiri, belakang) serta 19 pelajar penerima Tunas Makmur Pahang 2026 hari ini

KUANTAN – Orang awam boleh membuat aduan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) jika mendapati masih terdapat premis menjual vape atau rokok elektronik di Pahang.

Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia, Sim Chon Siang berkata, pihaknya akan memantau premis berkenaan yang masih beroperasi bermula tahun ini dan akan mengambil tindakan lanjut terhadap pemilik.

“Semua lesen jual vape di Pahang sudah dibatalkan (dihentikan). Memang kita tak boleh halang kalau ada individu yang menghisap vape tapi daripada segi undang-undang kita boleh sekat aktiviti ini.

“Tak boleh jual (vape) di Pahang, ia satu kesalahan. Boleh lapor kepada kita, kita ambil tindakan,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Tunas Makmur 2026 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) (P) Methodist sempena hari pertama pembukaan sesi persekolahan di sini hari ini.

Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Pahang, Sim Chon Siang

Dalam pada itu, beliau mengesahkan ada menerima aduan orang ramai berkenaan kenaikan harga makanan dan minuman di beberapa premis kedai makan dan restoran di sekitar bandar ini.

Jelasnya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri Pahang akan menjalankan pemeriksaan dan pemantauan bagi tindakan lanjut.

“Kita harap peniaga jangan ambil kesempatan naikkan harga. Kalau kita periksa dan mendapati ada kenaikan harga di bawah Anti Pencatutan akan disaman.

“Contohnya, air kosong. Banyak kali saya ingatkan, jangan jual lebih daripada RM0.50 segelas. Tapi ada juga yang jual RM0.70, ada jual RM1 malah kita ada terima aduan peniaga jual RM2 untuk air kosong segelas. J

“Jadi, kita akan ambil tindakan kalau ia berlaku. Tak kira Kopitiam lima bintang atau gerai makan biasa,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast