KUALA LUMPUR – Pas tidak boleh bekerjasama dalam membenarkan salah laku seperti yang berlaku di Perlis, walaupun dilakukan oleh ahli Pas sendiri dan kehilangan kerusi yang boleh menjatuhkan kerajaannya.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, ia kerana Pas mempunyai dasar dan akar umbi yang kukuh, serta cabang yang tidak mati jika dipotong, sebaliknya menumbuhkan tunas yang lebih banyak dan subur.
Sementara itu, Ahli Parlimen Marang berkenaan berkata, dalam kerjasama politik dengan pelbagai pihak, konsep ta‘awun siyasi (cooperation) disifatkan satu penyelesaian, berbanding tahaluf (alliance).
Jelasnya, ta‘awun adalah perbuatan tolong-menolong yang tidak terikat dengan masa dan melibatkan hubungan yang terpilih sahaja, tanpa terikat dengan syarat-syarat yang ketat.
“Setelah Pas mengalami kegagalan berulang kali dalam tahaluf bersama pelbagai pihak yang lain, saya telah mengadakan satu perbincangan khusus bersama dua orang mantan Mursyidul Am Pas, iaitu Almarhum Tuan Guru Nik Abdul ‘Aziz dan Almarhum Dr. Haron Din di bilik tetamu Dewan Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (PUTIK), Kelantan, sebelum kedua-duanya kembali ke rahmatullah.
“Hanya kami bertiga sahaja berbincang dalam usaha memperkukuh perpaduan ummah dengan mengambil pendekatan yang lebih anjal (fleksibel) bagi meredakan ketegangan dan perbezaan antara pelbagai pihak, khususnya antara kalangan Melayu Islam dan bukan Islam yang berdamai,” katanya menerusi catatan Minda Presiden Pas hari ini.
Jelas beliau, pendekatan baharu itu bukan dicipta atau disambar di tengah jalan tetapi adalah mata rantai perjuangan Islam yang tidak putus walaupun telah melalui beberapa generasi dan bersilih ganti pemimpinnya.
Ujarnya, perjalanan itu tidak boleh difahami oleh mereka yang menyertai Pas sekadar bertenggek menumpang dan menjadikan Pas anak tangga untuk melompat, laksana kera yang melompat ke arah pokok yang dilihat lebat buahnya.
Dalam masa sama, menurutnya, Pas tidak pernah mengkhianati perjanjian dengan semua pihak dan tidak lemah atau mundur dalam semua kerjasama dengan pihak lain.
Kata beliau, hanya segelintir yang gugur dalam perjalanan, namun lebih ramai lagi bersama Pas apabila mereka mengenali parti itu dari dekat ketika bersama, dan mereka mengiktiraf bahawa Pas beristiqamah atas prinsipnya.
“Bangsa Melayu Islam perlu berusaha mengembalikan semula kedaulatan Islam bagi menyelamatkan dunia, kerana wilayah alam Melayu mempunyai jumlah penganut Islam terbesar, majoriti penduduknya beragama Islam, kaya dengan sumber manusia yang terdiri daripada kalangan masyarakat majmuk dan sumber alam kurniaan Allah, serta diberikan kelebihan kedudukan dari segi geografi yang strategik dalam jajaran hubungan antarabangsa,” katanya. – MalaysiaGazette
















