PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini selesai merakam keterangan seorang pegawai tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki yang mengesahkan perkara itu berkata, individu terbabit telah dilepaskan sekitar jam 5 petang tadi.
“Bagaimanapun, SPRM akan melengkapkan siasatan dalam tempoh seminggu dan sebarang kemaskini mengenai siasatan kes ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya ketika dihubungi.
Terdahulu media melaporkan, seorang pegawai tinggi tentera sekali lagi hadir di ibu pejabat SPRM Putrajaya, pagi tadi, bagi meneruskan keterangan berkaitan dakwaan kes rasuah terbaharu membabitkan ATM.
Pegawai yang berusia lingkungan 60-an itu dikatakan tiba menaiki sebuah kenderaan utiliti sukan berwarna gelap kira-kira jam 10.10 pagi tadi.
Pegawai terbabit telah dipanggil ke Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada jam 11 pagi semalam bagi melengkapkan siasatan berhubung isu salah guna dana.
Sebelum ini, media melaporkan seorang pegawai pengurusan tertinggi ATM disiasat SPRM dan akan dituduh dalam masa terdekat berkaitan isu rasuah.
Azam dilaporkan berkata, siasatan membabitkan individu terbabit sudah sampai ke penghujung dan jika dipersetujui Peguam Negara, pegawai pengurusan tertinggi terbabit akan dibawa ke mahkamah untuk pendakwaan. – MalaysiaGazette
















