SHAH ALAM- Selangor tak pernah dan tidak merancang menjadi pengesport babi terbesar seperti yang didakwa pembangkang.
Exco Infrastruktur Pertanian Negeri Selangor, Datuk Izham Hashim berkata, penternakan babi di negeri ini hanya mencakupi 30 peratus keperluan makanan bagi masyarakat bukan Islam.
“Tidak timbul sebagai mana yang diuar-uarkan oleh pembangkang kata kita (Selangor) mahu jadi pengeksport terbesar babi.
“Selama ini (Selangor) tidak pernah eksport. Tidak tahu perkataan eksport tu datang daripada mana, untuk keperluan Selangor pun tidak cukup macam mana nak eksport,” katanya ketika sidang media di pejabatnya hari ini.
Sehubungan itu katanya, tidak timbul isu eksport babi oleh negeri berkenaan.
Menurut beliau, isu berkenaan hanya dipolemikkan bagi mencetuskan sensitiviti dalam kalangan masyarakat.
“Saya nak tekankan di sini jangan menyentuh isu perkauman,” tambahnya.
Terdahulu katanya, perkara berkenaan antara yang dipersembahkan kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pagi tadi.
Katanya lagi, beliau turut memberi penjelasan kepada Sultan Selangor mengenai beberapa perkara lain termasuklah rancangan memindahkan operasi penternakan ke Bukit Tagar untuk pemusatan yang lebih tersusun.
Izham berkata, setakat ini sebanyak lebih kurang 100,000 ekor babi diternak di Kuala Langat dan Sepang, melibatkan 115 ladang penternakan di kedua-dua daerah berkenaan. – MalaysiaGazette
















