KUALA LUMPUR – Selepas lebih setahun berada dalam pasaran lelong, banglo milik usahawan kontroversi, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau lebih dikenali Nur Sajat akhirnya berjaya dijual.

Perkara itu dikongsi ejen hartanah dikenali sebagai Ishaq Marazi menerusi hantaran di Facebook yang turut memaklumkan banglo tersebut dilelong pada harga RM3.7 juta.
Menurutnya, pada sesi lelongan pagi tadi, empat pembida (bidder) bertarung bagi membeli banglo itu bermula pada harga tawaran RM3 juta.
“Kenaikan RM700, 000, ada demand juga rupanya rumah ini, tahniah pada pemenang,” katanya.
Bagaimanapun, tiada perkongsian berhubung siapa yang berjaya membida banglo milik Nur Sajat itu.
Difahamkan, lelongan banglo Nur Sajat pagi tadi merupakan proses keenam selepas lima lelongan sebelum ini gagal menemukan pembeli.
Kali terakhir proses lelongan itu adalah pada Jun tahun lalu pada harga RM3.411 juta namun tiada pembeli ketika itu.
Ia juga merupakan harga lelongan termurah banglo itu selepas pertama kali dilelong pada harga RM5.2 juta.
Berdasarkan perkongsian Ishaq Marazi sebelum ini, banglo dua tingkat milik Nur Sajat itu terletak di Selangor Polo 7, Country Club, Seksyen 10, Petaling Jaya.
Banglo bersaiz 7,000 kaki persegi yang terletak di kawasan tanah seluas 11,093 kaki persegi itu memiliki enam bilik tidur dan tujuh bilik mandi.
Kediaman itu sebelum ini pernah cuba dijual Nur Sajat sejak dia berhijrah ke Australia pada Oktober 2021 pada harga RM9.5 juta, namun tiada pembeli. – MalaysiaGazette
















